Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Penjawat awam diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan perkhidmatan dengan tidak menyentuh perkara berkaitan isu 3R – agama, bangsa dan institusi raja.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya ada dalam kalangan penjawat awam yang terlibat dalam perkara sedemikian, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan.
“Peraturan ini memang sudah sedia ada. Kita sentiasa menasihatkan semua penjawat awam supaya menjauhi isu 3R kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan imej perkhidmatan awam,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya terdapat penjawat awam didapati terlibat, individu terbabit akan disiasat oleh Lembaga Tatatertib dan berdepan dengan tindakan sewajarnya mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana di Sekolah Kebangsaan Telaga Ara, di sini, pada Sabtu.
IMedikel TV






