Home Luar Negara MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA DI MYANMAR MASIH TERPERANGKAP

MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA DI MYANMAR MASIH TERPERANGKAP

168
0

YANGON: Sebahagian besar mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar masih terperangkap di kem tahanan selepas diselamatkan daripada sindiket penipuan dalam talian.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita harian, walaupun hanya sebatang sungai memisahkan mereka dari Thailand, mereka masih ditahan pihak berkuasa Myanmar sementara menunggu masa untuk dihantar pulang ke negara asal.

Beberapa negara sudah mengambil langkah membawa pulang rakyat masing-masing, baik secara rasmi atau menerus bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun ramai yang masih terabai.

Lebih 270 lelaki dan wanita diselamatkan daripada kerja paksa di pusat penipuan dua bulan lalu tetapi masih ditahan di Myanmar.

Sebahagian besar daripada mereka cuba melarikan diri Ahad lalu kerana bimbang akan dihantar semula ke kem tahanan seperti penjara, tempat di mana mereka mungkin dipukul, diseksa atau dibunuh.

“Kami lebih rela membunuh diri daripada kembali ke tempat itu,” kata seorang wanita yang telah menunggu lebih dua bulan untuk pulang ke Ethiopia.

Beliau datang ke Myanmar lebih setahun lalu dengan harapan mendapat pekerjaan dalam perkhidmatan pelanggan, namun akhirnya menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa melakukan penipuan dalam talian menyasarkan mangsa di seluruh dunia.

NGO yang beroperasi di sempadan telah mengumpul dana bagi membantu membawa pulang mereka, namun penantian yang panjang menyebabkan beberapa kedutaan memaklumkan bahawa nama mereka tidak tersenarai secara rasmi untuk proses penghantaran pulang oleh Myanmar.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, mangsa pemerdagangan manusia yang ditahan itu berkata mereka melihat pelawat dipercayai dari pusat penipuan, datang berunding dengan tentera militia Tentera Demokratik Buddha Karen (DBKA).

Selepas salah satu pertemuan itu, askar DKBA mendekati tahanan dan menawarkan peluang untuk kembali ke pusat tersebut.

Seorang lelaki memberitahu mereka: “Sesiapa yang mahu kembali bekerja boleh pulang dengan mudah. Tiada hukuman. Ada gaji”.

Rasa takut semakin memuncak, dan pada Ahad lalu, mereka bertindak nekad mengemas barang dan beramai-ramai menuju ke pintu keluar pusat tahanan itu.

“Kami penat dan mahu pergi. Tiada makanan yang mencukupi. Kami tidur di atas lantai,” kata seorang lagi lelaki.

Mereka keluar secara perlahan dalam kumpulan besar sambil menarik beg masing-masing.

Namun, sebaik melepasi pagar, mereka berdepan dengan tentera bersenjata di jalan, menurut tiga individu yang cuba melarikan diri serta berdasarkan rakaman video kejadian.

Akhirnya, seorang askar memaklumkan bahawa mereka sedia untuk berbincang, dan kumpulan itu bersetuju untuk berpatah balik.

Kementerian Luar Thailand pada Isnin menyatakan bahawa mereka sedar mengenai cubaan melarikan diri itu dan nama-nama yang terlibat sedang dimasukkan ke dalam senarai rasmi penghantaran pulang.

Pengarah Asia Tenggara Acts of Mercy International, Amy Miller, berkata pihaknya bersama sebuah syarikat penerbangan dan beberapa rakan kerjasama telah berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membawa pulang lebih 270 individu tersebut.

Buat masa ini, mereka masih menunggu kerana kerenah birokrasi memandangkan kawasan berkenaan dikuasai pasukan tentera pemberontak. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here