Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Tindakan pantas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 320 paket makanan sejuk beku dari Thailand dalam operasi khas Op Taring Wawasan, pada Ahad.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan berkata kejadian berlaku sekitar jam 6.00 pagi di kawasan pengkalan haram Pasir Tok Deh, apabila sepasukan anggota PGA yang sedang melakukan rondaan ternampak beberapa bungkusan mencurigakan di tebing sungai.
“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi pelbagai jenis makanan sejuk beku dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM16,000 dan dipercayai cuba diseludup untuk dijual di pasaran tempatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,”katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan PGA memaklumkan pihaknya komited memperhebat operasi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan negara, terutama di kawasan berisiko tinggi.
Tindakan berterusan ini dilihat penting dalam usaha memastikan keselamatan sempadan serta menghalang lambakan barangan tidak sah ke dalam pasaran tempatan.
IMedikel TV






