WASHINGTON: Sepasang kura-kura gergasi Galapagos dari spesies Western Santa Cruz yang diklasifikasi sebagai kritikal diancam kepupusan kini menjadi ibu bapa buat kali pertama, pada usia kira-kira 100 tahun.
Ia sekali gus mencipta sejarah baharu di Zoo Philadelphia.
BBC melaporkan, zoo tertua di Amerika Syarikat itu mengumumkan bahawa pihaknya “terlalu gembira” dengan kelahiran empat anak kura-kura yang menetas dari telur hasil benih pasangan bernama Abrazzo dan Mommy.
Lebih membanggakan, ia adalah kelahiran pertama seumpamanya dalam sejarah lebih 150 tahun zoo itu, malah Mommy – yang tiba di zoo pada 1932 – diiktiraf sebagai induk pertama tertua dalam spesiesnya yang berjaya menetaskan telur.
Kura-kura gergasi itu kini berada pada tahap kritikal untuk terus wujud di habitat asal, dan kurang daripada 50 ekor daripadanya masih berada di zoo-zoo seluruh Amerika Syarikat.
Telur pertama pasangan itu menetas pada 27 Februari lalu, dan diikuti beberapa telur lain tidak lama kemudian. Pasukan penjagaan haiwan di zoo itu juga sedang memantau beberapa telur yang dijangka akan menetas dalam minggu-minggu akan datang.
Empat anak kura-kura yang menetas itu kini seberat antara 70 hingga 80 gram setiap satu. Buat masa ini, ia diletakkan di kawasan khas di dalam Rumah Reptilia dan Amfibia di zoo berkenaan.
Menurut kenyataan zoo, keempat-empat anak kura-kura itu “makan dan membesar dengan baik.”
Kumpulan anak kura-kura itu dijangka akan dipertontonkan kepada umum buat kali pertama pada Rabu, 23 April – iaitu bertepatan dengan ulang tahun ke-93 ketibaan Mommy di zoo berkenaan.
Mommy tiba di zoo itu pada 1932, manakala Abrazzo pula adalah ‘pendatang baharu’ yang hanya tiba pada tahun 2020 selepas dipindahkan dari Riverbanks Zoo and Garden di Carolina Selatan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV





