AUGUSTA: Bintang golf Amerika Syarikat, Jordan Spieth mengakui masih belum mencapai tahap permainan terbaik selepas kembali beraksi susulan pembedahan pergelangan tangan, namun tetap optimis untuk kembali bersaing dengan kelompok pemain elit dunia pada kejohanan Masters minggu ini.
Spieth, 31, menjalani pembedahan pada pergelangan tangan kiri Ogos lalu selepas berdepan masalah itu sejak Mei 2023.
Dia kembali ke kancah Jelajah PGA menerusi saingan AT&T Pebble Beach Pro Am Februari lalu, dengan prestasi tidak menentu – termasuk mencatat keputusan keempat terbaik di Terbuka WM Phoenix namun gagal melepasi cut di The Genesis Invitational.
“Saya tetapkan sasaran untuk mencuba menang satu kejohanan sebelum Masters, dan saya ada beberapa hari Ahad yang saya sebenarnya berpeluang melakukannya. Jadi secara keseluruhan, saya rasa okay… walaupun masih rasa seperti ketinggalan,” katanya kepada media di Augusta National Golf Club.
Dalam empat kejohanan selepas itu, pencapaian terbaiknya ialah tempat kesembilan di Klasik Cognizant dan paling rendah di tangga ke-59 pada The Players Championship.
Minggu lalu, dia menamatkan saingan di tempat ke-12 di Terbuka Valero Texas.
Bekas juara Masters 2015 itu mengakui tempoh pemulihan banyak mengubah pendekatannya, dengan lebih fokus kepada ‘kerja bijak’ berbanding ‘kerja keras’.
“Saya cuba elak membazir pukulan dalam sehari dan kekal dengan proses. Tahun lalu, saya asyik cuba ubah hayunan beberapa kali dalam satu pusingan semata-mata untuk dapatkan posisi pergelangan tangan yang betul,” katanya.
Spieth kini berada di ranking ke-65 dunia dan kali terakhir menjulang trofi ialah di RBC Heritage pada April 2022.
Walaupun sedar dirinya belum berada pada tahap terbaik, dia melihat kejohanan Masters sebagai peluang untuk kembali menemui rentak sebenar.
“Ia hampir (ke tahap terbaik), tapi belum lagi. Tapi itu tak bermakna saya tak boleh mencapainya minggu ini. Saya mulakan semula (aksi) dengan perancangan 10 tahun, bukan semata-mata untuk April 2025. Jadi agak keterlaluan untuk harapkan saya berada di tahap terbaik selepas pembedahan.
“Saya akan cuba pukul fairway lubang pertama esok… kemudian sasarkan tengah green dan teruskan dari situ.” – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






