Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mahu UMNO lebih telus semasa menjawab soalan yang dikemukakan wakil-wakil mereka dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa akan datang.
Beliau berkata, banyak soalan-soalan yang ditujukan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan persekutuan tidak dijawab.
“Saya minta agar persidangan DUN Kelantan mengambil kira soalan-soalan yang telah dibangkitkan oleh ketiga-tiga ADUN daripada Kerajaan Perpaduan ini, agar tidak ada pilih kasih,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan colek bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu, di sini, semalam.
Beliau juga berpendapat, tempoh persidangan diminta perlu dipanjangkan bagi memastikan lebih banyak isu-isu rakyat dapat dibincangkan.
“Kita lihat dalam sidang DUN Kelantan adalah terlalu singkat berbanding negeri-negeri lain, sepatutnya semua ADUN, sama ada daripada Kerajaan Negeri mempunyai peranan untuk menyuarakan pandangan rakyat,” katanya.
Beliau turut meminta agar PAS tidak menerusan usaha untuk menarik UMNO menyertai mereka dalam membentuk kerajaan melalui pintu belakang.
“UMNO kekal dengan pendirian untuk tidak mengkhianati rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan akan berterusan dalam perjuangan.
“Kalau mereka ingin mengadakan gerakan melalui pintu belakang dengan menggoda UMNO untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini, sedangkan tanggapan ini adalah silap,” katanya.
“Mesej ini jelas, UMNO tidak akan sesekali mengkhianati rakan dasar kami,” katanya.
IMedikel TV






