Home Hiburan TIADA NOKTAH DALAM KERJAYA

TIADA NOKTAH DALAM KERJAYA

342
0

BEKAS anggota Dolla, Syasya Rizal, 24, akan emosi apabila ada pihak menyentuh mengenai anaknya. Malah, dia pernah membalas komen pengikut di media sosial dengan nada berang.

Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal berkata, dia mengakui silap apabila membalas komen dengan nada begitu, namun dia memang tersentuh jika ada yang komen mengenai anaknya, Muhammad Yassir Hayyan.

“Bila jadi ibu dan orang sentuh soal anak, saya teremosi sedikit. Kalau nak sentuh soal saya, okay saja. Tapi, kenapa nak bercakap soal anak saya. Salah saya juga balas komen.

“Suami ada pesan, komen sebegitu tak perlu balas dan tutup mata saja. Saya akui melatah sedikit ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, Syasya tidak rasa ada keperluan menjelaskan situasi sebenar itu dan biar yang tahu saja tahu kebenaran di sebaliknya.

“Saya faham setiap orang ada pendapat masing-masing, cara mereka memahami sesuatu pun berlainan. Jadi, cukuplah mereka yang tahu mengenai cerita sebenar.

“Saya tahu bukan semua orang kenal Norsyasya Afiqah, hanya orang sekeliling tahu cerita sebenar sudah cukup. Anak mestilah sayang, tapi tidaklah ‘over-protective’,” katanya.

Dalam pada itu, Syasya seronok apabila suaminya Nasrullah Mohd Sapi memberi ‘lampu hijau’ kepadanya kembali meneruskan karier muzik.

Terbaru, namanya kembali naik selepas melancarkan lagu raya Raya Pum Pang.

“Memang dia sangat memberi sokongan. Suami tahu ini minat saya, tapi lagu raya ini baru hadiah kecil untuk peminat. Jadi, bila Universal Music Malaysia mengundang saya untuk bekerjasama dengan Fazura, saya setuju sebab ia adalah lagu yang ‘catchy’.

“Sebelum ini, saya tak pernah meletakkan noktah pada karier nyanyian. Kalau ada rezeki untuk saya meneruskan perjalanan sebagai penyanyi dan dapat solo, lagu sesuai dengan karakter dan suara, saya okay. Tapi sekarang tiada perancangan tetap lagi,” katanya.

Syasya mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah pada 20 April tahun lalu dan menimang cahaya pertama pada 23 Disember tahun lalu. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here