CAPE TOWN: Kapten, Mohamed Salah menjaringkan gol untuk membantu Mesir meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Ethiopia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, hari ini, manakala Maghribi yang mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022, memerlukan jaringan lewat Bilal El Khannouss untuk menewaskan Niger.
Zizo menyumbang gol kedua Mesir, sekali gus membolehkan mereka mempunyai kelebihan lima mata di puncak Kumpulan A pada pertengahan kempen kelayakan.
Terdahulu, Burkina Faso menewaskan Djibouti 4-1 untuk menduduki tempat kedua dalam kumpulan.
Juara setiap kumpulan dalam sembilan kumpulan kelayakan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada, manakala empat naib juara terbaik akan bersaing dalam aksi playoff antara benua bagi merebut satu lagi slot ke kejohanan utama.
Maghribi menikmati kelebihan bermain di tempat sendiri di Oujda menentang Niger, berikutan ketiadaan stadium yang sesuai untuk menjadi tuan rumah perlawanan antarabangsa di negara lawan.
Namun, mereka perlu menunggu hingga minit ke-60 untuk gol penyamaan daripada Ismael Saibari sebelum El Khannouss menjaringkan gol kemenangan dua minit memasuki masa kecederaan, membolehkan Maghribi mendahului Kumpulan E dengan kelebihan enam mata ke atas Niger di tempat kedua.
Relebohile Mofokeng dan Jayden Adams masing-masing menjaringkan gol antarabangsa pertama mereka ketika Afrika Selatan berhempas pulas menewaskan jiran mereka, Lesotho 2-0 di tempat sendiri untuk mendahului Kumpulan C.
Sementara itu, Nigeria akhirnya meraih kemenangan pertama dalam kempen kelayakan selepas lima perlawanan dengan menewaskan Rwanda 2-0 di Kigali.
Victor Osimhen menjaringkan dua gol untuk membantu Nigeria mengumpul enam mata, empat mata di belakang Afrika Selatan.
Ghana, yang gagal melayakkan diri ke Piala Negara-Negara Afrika di Maghribi tahun ini, kini mendahului kumpulan selepas membelasah Chad 5-0 di Accra.
Antoine Semenyo, Inaki Williams, Jordan Ayew, Mohammed Salisu, dan Ernest Nuamah masing-masing mencetak nama sebagai penjaring untuk pasukan tuan rumah, yang kini memimpin Kumpulan I dengan kelebihan dua mata berbanding Madagascar.
Ivory Coast pula mengambil alih kedudukan teratas kumpulan selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Burundi dalam perlawanan yang berlangsung di Maghribi. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






