Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Kerajaan Kelantan menjangkakan Kompleks Sukan Bukit Merbau siap menjelang September 2027
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad, berkata kompleks sukan tersebut juga dijadikan sebagai persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
“Setakat ini perkembangan pembinaan sedia ada masih mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kami sudah membentangkan perkembangan projek ini kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan dan secara asasnya mereka berpuas hati,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan 2025, di Masjid Ibrahimi, di sini, semalam.
Katanya, setakat rekod terkini bulan lalu kerja-kerja tanah di tapak kompleks tersebut sudah mencapai 89 peratus manakala bagi pembinaan stadium utama adalah satu hingga dua peratus.
“Secara umumnya terdapat pelbagai peringkat bagi pembinaan kompleks tersebut kerana ada banyak komponen.
“Ada peringkat yang sudah mula masuk tapak, contohnya pembinaan stadium utama kontraktor sudah memulakan proses menanam cerucuk ke dalam tanah (piling),”katanya.
Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan laporan berkala daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri Kelantan dan kontraktor yang terbabit bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar.
“Pihak JKR terus memantau proses pelaksanaan projek itu bagi memastikan ia mengikut jadual dan memenuhi spesifikasi yang sudah ditetapkan,”katanya.
IMedikel TV






