Home Buletin Semasa INOVASI IKAN BEKOK DITERIMA RAMAI

INOVASI IKAN BEKOK DITERIMA RAMAI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Ikan bengkak atau terkenal dengan nama ikan bekok di negeri Che Siti Wan Kembang adalah sajian tradisi yang sering menjadi pembuka selera bagi mereka yang menggemarinya.

Meskipun ikan itu terkenal dengan rasa masin dan bau yang agak busuk, namun pengasas ikan bekok Ocean Fresh cuba mengurangkan kepekatan masin dan bau ikan tanpa mengubah identiti produk tersebut.

Khalifah Hussein, 47 berkata dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan ikan bekok sejak lima tahun lalu selepas keperitan dalam mendapatkan pekerjaan yang dilalui semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

“Ikan bekok ini sudah senonim antara rasa masin dan berbau, jadi saya buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kurangkan rasa itu dan bagi ianya seimbang.

“Saya melalui proses R&D lebih daripada enam bulan untuk temukan rasa tidak masin dan tidak berbau bila digoreng,” katanya.

Khalifah berkata, proses penghasilan ikan bekok dimulakan dengan merendam ikan bersama garam selama satu hingga tiga hari, bergantung kepada tahap kemasinan yang diinginkan.

Tambahnya, jika menginginkan rasa yang lebih masin, proses rendaman biasanya dilakukan satu sehingga tiga hari.

“Bagi proses rendaman, kita mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kemudian ikan itu akan ditoskan dan siap untuk dijual.

“Setakat ini saya menjual sebanyak 12 jenis ikan bekok termasuk ikan gelama, siakap, jenahak, kerapu, merah, cencaru, terubuk, kerisi dan ikan-ikan campur lain. Saya juga sudah mendapatkan sijil halal untu perniagaan ini,” katanya.

Katanya, dia mengambil bekalan ikan sebanyak 500 hingga 1,000 kilogram untuk tempoh satu minggu dan mempunyai sebanyak 17 peti sejuk beku yang boleh menampung sebanyak 400 kg ikan bekok bersamaan dengan 800 pek ikan bekok.

Menurut Khalifah, kesemua ikan bekok sejuk beku yang dijual boleh bertahan selama enam hingga 12 bulan sebelum ia dibuka.

“Harga ikan bekok yang dijual bermula dengan harga serendah RM15 hingga RM50.

“Paling mendapat permintaa ramai adalah ikan gelama bekok dan ikan siakap bekok,” katanya.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, dia juga menyediakan pes nasi goreng buatan sendiri bagi persediaan untuk menjual di festival seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Katanya, sebelum ini dia pernah menjadi usahawan ayam kampung bekok namun sekarang dia hanya fokus kepada ikan bekok sahaja.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here