HOUSTAN: Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera pada hari Sabtu apabila puting beliung dan ribut ganas melanda kawasan tengah Amerika Syarikat.
Berita tempatan menyiarkan imej bumbung rumah yang diterbangkan dan trak besar yang terbalik, sementara peramal cuaca memberi amaran tentang kemungkinan lebih banyak taufan hujung minggu ini.
Lapan orang maut di Kansas dalam kemalangan membabitkan lebih 50 kenderaan, yang disebabkan oleh jarak penglihatan rendah akibat “ribut debu teruk,” menurut polis tempatan.
Patroli Lebuhraya Negeri Missouri mengesahkan 12 kematian berkaitan ribut dan berkongsi imej bot yang bertindih antara satu sama lain di sebuah marina yang musnah akibat cuaca buruk.
Polis negeri melaporkan pokok tumbang dan talian elektrik rosak, serta kemusnahan bangunan, dengan beberapa kawasan terjejas teruk akibat “taufan, ribut petir dan hujan batu besar.”
“Ia adalah pengalaman paling menakutkan yang pernah saya alami, sangat pantas, telinga kami terasa hendak pecah,” kata Alicia Wilson, yang dipindahkan dari rumahnya di Missouri, kepada stesen TV KSDK.
Lebih jauh ke selatan di Mississippi, gabenor negeri itu melaporkan enam kematian dan tiga orang masih hilang pada lewat Sabtu.
Sementara itu di Texas, pihak berkuasa tempatan memberitahu AFP bahawa empat orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya yang berpunca daripada ribut debu dan kebakaran yang mengurangkan jarak penglihatan.
Di negeri jiran Arkansas, pegawai melaporkan tiga kematian dan 29 orang cedera akibat ribut.
Gabenor Sarah Huckabee Sanders mengisytiharkan darurat sebagai tindak balas dan berkata beliau telah berbincang dengan Presiden Donald Trump.
“Beliau meminta saya memberitahu rakyat Arkansas bahawa beliau menyayangi mereka dan beliau serta pentadbirannya sedia membantu dengan apa sahaja yang diperlukan selepas taufan malam tadi,” tulis Sanders di X.
Sekurang-kurangnya 200,000 rumah dan perniagaan di seluruh kawasan tengah Amerika Syarikat terputus bekalan elektrik menjelang malam Sabtu.
Lebih banyak taufan diramalkan berlaku pada hari Sabtu di negeri-negeri Gulf Coast tengah termasuk Mississippi dan Tennessee.
“Taufan besar yang banyak, sesetengahnya mungkin berpanjangan dan berbahaya, dijangka berterusan hingga ke malam,” kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.
Taufan adalah pusaran udara berpusing yang menyentuh permukaan bumi dari awan ribut petir cumulonimbus yang besar.
Negeri-negeri tengah dan selatan AS seperti Texas, Oklahoma dan Kansas mengalami taufan paling ganas kerana keadaan geografi dan meteorologi yang unik.
Dikenali sebagai “Tornado Alley,” kawasan ini menyaksikan pertembungan angin dari pelbagai suhu yang menghasilkan awan ribut berpotensi ganas, dengan kebanyakan ribut berlaku dari Mei hingga Jun.
Pada tahun 2024, seramai 54 orang maut akibat kejadian berkaitan taufan di Amerika Syarikat, menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA). – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






