Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Mungkin ramai dalam kalangan pesakit lelaki yang mempunyai penyakit kanser menganggap mereka tidak boleh sembuh.
Namun, apa yang mereka perlu tahu, salah satu penyakit yang mempunyai peluang baik untuk pulih walaupun ia dirawat pada peringkat akhir adalah kanser testis.
Bukan hanya di peringkat satu, dua, tiga mahupun empat, kadar kejayaan prognosis pesakit tersebut adalah dianggarkan antara 80 hingga 90 peratus untuk pulih.
Pakar Urologi Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr Mohamed Ashraf Mohamed Daud berkata umumnya kanser testis adalah penyakit yang jarang berlaku berbanding kanser lain dengan hanya satu peratus daripada semua kes kanser.
Jelasnya, kanser itu majoritinya terjadi pada lelaki dalam lingkungan umur yang agak muda, iaitu 20 hingga 30 tahun.
“Kanser testis ini adalah sejenis kanser yang terbentuk di testis yang mana ia adalah organ pembiakan atau seksual bagi lelaki.
“Individu yang berisiko ini antaranya adalah mereka yang dilahirkan di mana testisnya tidak turun atau tidak berada di dalam skrotumnya, jadi individu tersebut perlu menjalani pembedahan untuk menurunkan testis itu ke dalam kantung skrotum kerana ia berisiko terhadap kanser.” katanya ketika ditemui di HPUSM, baru -baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset HPUSM menjelaskan, saiz testis yang berbeza perlu diberi perhatian kerana jika salah satunya terasa lebih berat, ia berisiko petanda kanser berkenaan.
Selain itu, ketulan keras pada testis juga kemungkinan besar cenderung kepada penyakit itu.
“Bagi individu yang normal, apabila testis itu dipicit, ianya sedikit anjal dan akan ada rasa senak namun jika sebaliknya, akan ada ketulan keras apabila dipegang, itu kemungkinan besar kanser testis,” katanya.

Dr Ashraf berkata, sekiranya sel kanser itu sudah merebak dari tempat asalnya ke kelenjar limfa atau kelenjar lain dalam badan, ia boleh menyebabkan pembesaran atau ketulan pada kelenjar tersebut.
Ini kerana, terdapat pesakit yang merasakan ada ketulan keras di dalam perut dan hasil pemeriksaan pakar urologi mendapati ianya hasil daripada testis yang menjadi kanser dan membesar di dalam perut.
“Kita akan membuat ujian pemeriksaan pada skrotum dan testis melalui imbasan sonografi (ultrasound) dan ujian darah tumor marker untuk melihat ketulan kanser itu dengan lebih terperinci.
“Untuk diagnos kanser itu, pakar urologi akan mengambil tisu melalui pembedahan minor bagi mengenalpasti jenis kanser testis, sama ada seminoma, non-seminoma, limfoma, atau lain-lain,” katanya.
Ujar Dr Ashraf, kanser testis terbahagi kepada dua iaitu, Tumor Sel Germ dan Tumor Bukan Sel Germ yang mana ia mempunyai perbezaan dari segi prognosisnya.
Katanya, kanser pada peringkat awal adalah keadaan apabila ketulan tersebut masih kekal dalam testis dan tidak merebak ke tempat lain.
“Manakala, pada peringkat kedua pula, ia sudah merebak melalui salur limfa ke kelenjar nodus limfa dan pesakit ini dinasihatkan untuk menjalani rawatan kemoterapi.
“Begitu juga sekiranya kanser berada pada tahap lebih tinggi iaitu tiga dan empat, pesakit disarankan untuk menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi bagi membunuh sel kanser namun ia bergantung kepada kawasan kanser tersebut merebak,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Ashraf berkata, pembedahan membuang testis akan menjejaskan masalah kesuburan.
“Pembedahan untuk buang kelenjar limfa di sekitar salur darah tersebut, kawasan itu terdapat saraf simpatetik yang terlibat dalam proses ejakulasi jadi pesakit ini akan mengalami masalah ejakulasi.
“Tapi dia terpaksa berkorban, walaupun apabila buang kanser itu dia terpaksa mengalami masalah dari segi kesuburan, seksual, itu terpaksa kita kena menyakinkan pesakit yang mana lagi lebih utama,” katanya.
Oleh sebab itu, semua lelaki dinasihatkan untuk memeriksa testis dalam skrotum dan sekiranya didapati ada ketulan, perlu segera berjumpa doktor.
IMedikel TV






