MIAMI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyifatkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, sebagai seorang ‘diktator’, sekali gus memburukkan persengketaan peribadi dengan kesan besar terhadap usaha menamatkan konflik pencerobohan Russia tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, AS menyediakan dana dan senjata penting kepada Ukraine, namun Trump membuat perubahan dasar secara mengejut dengan membuka rundingan dengan Russia hanya beberapa minggu selepas kembali berkuasa di Rumah Putih.
“Seorang diktator tanpa pilihan raya, Zelensky lebih baik bertindak pantas atau dia tidak akan mempunyai negara lagi,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Zelensky dipilih pada 2019 untuk tempoh lima tahun dan kekal sebagai pemimpin di bawah undang-undang tentera yang dikuatkuasakan ketika negaranya berjuang untuk terus bertahan.
Trump mengkritik Zelensky dengan keras, mengatakan Zelensky enggan mengadakan pilihan raya, tidak popular dalam tinjauan pendapat di Ukraine dan satu-satunya perkara yang Zalensky mahir lakukan ialah memperdaya bekas Presiden AS, Joe Biden.
Trump juga mendakwa pihaknya sedang berunding untuk menamatkan perang dengan Russia dan sesuatu yang perlu diakui oleh semua pihak ialah ia hanya boleh dilakukan oleh dirinya serta pentadbirannya.
Menurut Institut Sosiologi Antarabangsa Kyiv (KIIS), populariti Zelensky dilihat semakin menurun, namun peratusan rakyat Ukraine yang mempercayai pemimpin itu tidak pernah jatuh di bawah 50 peratus sejak konflik bermula.
Di bawah pentadbiran Biden, AS memuji Zelensky sebagai seorang wira dan mengenakan sekatan berat terhadap Russia ketika Ukraine berusaha menentang kemaraan tentera Russia.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Trump mengkritik pemimpin Ukraine itu dengan hebat serta mengulangi naratif Kremlin, termasuk dakwaan bahawa Ukraine yang memulakan perang.
Kenyataan Trump itu mengejutkan Eropah, dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz, menyifatkan tindakan melabel Zelensky sebagai diktator itu adalah salah dan berbahaya.
Di AS, bekas Naib Presiden AS, Mike Pence, turut mengeluarkan kecaman keras terhadap perkara terbabit.
“Presiden Trump, Ukraine tidak memulakan perang berkenaan. Russia melancarkan pencerobohan yang tidak bersebab dan kejam, mengorbankan ratusan ribu nyawa,” katanya di platform X.
Sementara itu, Zelensky bertindak balas terhadap serangan Trump dengan menuduhnya terpengaruh dengan penyebaran maklumat palsu oleh Russia.
“Saya percaya bahawa AS sudah membantu Presiden Russia, Vladimir Putin keluar daripada pengasingan selama bertahun-tahun,” katanya. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






