KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul menyifatkan keputusan undian media sosial yang memilihnya sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39) sebagai satu pemangkin untuk berusaha memberikan persembahan terbaik, Ahad ini.
Aina berkata, pemilihan yang dibuat peminat AJL adalah isyarat awal menandakan pertandingan sebenar bakal berlangsung dengan sengit.
“Terima kasih kepada semua yang mengundi dan memberikan sokongan tanpa henti kepada saya terutama Ainations (kelab peminat). Melihat keputusan ini, saya menganggap ini satu tanda ramai yang percaya dan mengharapkan sesuatu daripada persembahan saya di pentas AJL nanti.
“Keputusan itu bukanlah satu jaminan, tetapi ia menjadi pemangkin untuk saya terus berusaha memberikan yang terbaik. Saya juga anggap setiap undian yang diterima adalah suara keyakinan daripada peminat,” katanya.
Menurut Aina, dia tidak sabar untuk beraksi di pentas AJL kerana sentiasa memberikan cabaran baharu untuk dilaksanakan pada setiap edisi.
“Saya sedar perjalanan ini masih panjang dan pentas AJL adalah medan sebenar yang mana lagu dan penyampaian akan dinilai sehabis baik.
“Saya menghormati setiap pesaing yang turut bertanding kerana masing-masing membawa kekuatan tersendiri. Apapun saya akan melangkah ke pentas dengan penuh semangat, bukan hanya membawa nama sendiri, tetapi juga harapan mereka yang percaya kepada karya Puas Sudah.
“Saya tidak akan berhenti berusaha dan memastikan persembahan di AJL nanti bukan hanya sekadar memenuhi harapan, tetapi memberi sesuatu yang dapat dikenang,” katanya.
Terdahulu, lagu Puas Sudah nyanyian Aina Abdul dipilih sebagai calon juara anugerah berprestij itu menerusi undian versi media sosial.
Menerusi undian yang berlangsung dari 6 Februari hingga semalam, hampir 30,000 peminat menunjukkan sokongan terhadap penyanyi itu. – HMetro Online –
IMedikel TV






