TUNIS: Pihak berkuasa Libya menemui sebuah kubur besar mengandungi mayat 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari sub-Sahara, di daerah tenggara Kufra, dekat lokasi di mana mereka didakwa ditahan dan diseksa, menurut kenyataan pejabat pendakwa raya.
Kubur itu ditemui selepas serbuan dalam satu operasi lewat Sabtu lalu ke atas salah satu lokasi pemerdagangan manusia, di mana pihak berkuasa membebaskan 76 PATI sub-Sahara yang telah ditahan dan diseksa.
Serbuan itu menyasarkan ‘sebuah kumpulan yang anggotanya sengaja merampas kebebasan pendatang tanpa izin, menyeksa mereka serta memberi layanan yang kejam, menghina dan tidak berperikemanusiaan’, menurut kenyataan itu.
Mayat-mayat itu ‘dikebumikan berhampiran tempat penahanan’ dan tiga individu telah ditahan, termasuk seorang warga Libya serta dua warga asing, tambah kenyataan sama.
Foto yang dimuat naik bersama kenyataan itu di media sosial menunjukkan PATI yang kurus kering dengan parut pada muka, anggota badan dan belakang mereka.
Libya masih bergelut untuk pulih daripada kekacauan selepas kebangkitan pemberontak yang disokong pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011 bagi menggulingkan pemimpin Libya ketika itu, Muammar Gadafi.
Negara itu kekal berpecah antara kerajaan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Abdelhamid Dbeibah dan pihak berkuasa saingan di timur yang disokong oleh panglima tentera Khalifa Haftar.
Sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan yang berterusan sejak itu.
Libya telah lama dikritik atas layanan terhadap PATI dan pelarian, dengan tuduhan, antara lain, melakukan pemerasan dan perhambaan, daripada kumpulan hak asasi.
Terletak sekitar 300 kilometer (km) dari Itali, Libya menjadi titik keberangkatan utama bagi PATI terutama dari negara-negara sub-Sahara Afrika, yang mengambil risiko perjalanan berbahaya melalui Laut Mediterranean untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah.
Bulan lalu, pihak berkuasa menahan dua individu yang didakwa menyeksa dan menahan 263 PATI untuk memeras wang tebusan di El Wahat, timur Libya.
Pendakwaan menyatakan pada waktu itu, PATI berkenaan ditahan untuk ‘memaksa keluarga mereka membayar AS$17,000 (RM76,000) bagi pembebasan PATI Somalia dan AS$10,000 (RM44,700) bagi pembebasan PATI Eritrea.
Pada Mac tahun lalu, sebuah kubur besar yang mengandungi ‘sekurang-kurangnya 65 mayat PATI’ ditemui di barat daya Libya, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) PBB.
“Kesan betapa kurangnya penguatkuasaan bagi membendung amalan ini tenyata jelas berdasarkan peningkatan ketara kematian PATI dan mereka yang terperangkap dalam keadaan mengerikan,” kata IOM. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






