Home Hiburan TOMOK, NANA RAI PERSAHABATAN 2 DEKAD

TOMOK, NANA RAI PERSAHABATAN 2 DEKAD

KUALA LUMPUR: Persahabatan terjalin ketika masing-masing berusia belasan tahun dan rancak mengatur langkah dalam kerjaya seni diperkukuhkan apabila dua teman ini berpadu suara dalam single Memori Mungkin Berulang, tahun lalu.

Melihat sambutan hangat peminat, akhirnya timbul idea untuk Tomok dan Siti Nordiana bekerjasama dalam konsert menggunakan judul sama dengan lagu duet mereka, iaitu Konsert Memori Mungkin Berulang di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nyata keputusan mementaskan konsert itu sangat tepat kerana acara anjuran syarikat Tomok, iaitu Popsicle Records dibanjiri kira-kira 1,500 peminat tempatan dan luar negara.

Siapa sangka selepas lebih dua dekad bersahabat, baru sekarang Tomok dan Siti Nordiana dapat bekerjasama dan digandingkan dalam konsert sarat nostalgia.

Membuka tirai persembahan pada jam 8.20 malam, Tomok dan Siti Nordiana atau lebih akrab disapa Nana muncul di pentas menyampaikan lagu Benang Emas yang dipopularkan Nana bersama Allahyarham Achik Spin.

Aksi duet diteruskan dengan dendangan Demi Cinta Ini yang pernah dinyanyikan Tomok bersama pelakon Fatin Afeefa serta Cinta Tak Pergi hasil paduan suara Tomok bersama Yana Samsudin.

Kehebatan kedua-dua penyanyi yang kini berusia 40 tahun itu terserlah menerusi persembahan lagu popular mereka. Buktinya penonton turut menyanyi seolah-olah penyanyi latar untuk konsert tersebut.

Ingatan penonton kembali ke era 2000 apabila Tomok dan Siti Nordiana mendendangkan lagu seperti Cinta Hanya Sandaran, Seribu Setia, Hanya Tinggal Sejarah, Meraung, Sejarah Mungkin Berulang, Hiasan Di Laman Rindu serta lagu duet Gurauan Berkasih dan Memori Berkasih.

Adrenalin penonton mengalir deras apabila pasangan itu memilih untuk menyampaikan lagu Kill This Love yang dipopularkan kumpulan Blackpink serta dua lagu Hindi popular berjudul Kuch Kuch Hota Hai dan Koi Mil Gaya dilengkapi penari lantas mencipta kemeriahan.

Sebelum memulakan persembahan, Tomok memberitahu peminat lagu berkenaan mengembalikan nostalgia ketika mereka menyertai program realiti, All Stars Gegar Vaganza, dua tahun lalu.

“Persembahan akan diteruskan dengan lagu Korea diikuti dengan lagu Hindustan. Lagu ini dinyanyikan ketika kami menyertai program All Stars Gegar Vaganza pada 2023,” kata Tomok sambil disambut sorakan penonton.

Lagu lain yang turut dinyanyikan adalah Tata Suria, Hatiku Milikmu, Terus Mencintaimu, Berlari, Aku Datang, Kasihmu Seakan Berubah, Perlukan Mu, Janji Kita serta lagu yang Tomok sifatkan sebagai karya bernilai RM1 juta berjudul Rindu Terhenti, iaitu ganjaran yang diterima sebagai pemenang program One In Million musim ketiga.

Tidak hanya berkongsi kisah persahabatan mereka serta kenangan yang pernah dilalui ketika zaman remaja, Tomok atau nama sebenar, Shah Indrawan Ismail dan Siti Nordiana turut bercerita mengenai perjalanan kerjaya seni mereka.

Biarpun ia adalah konsert duet, namun, Tomok tidak melupakan kumpulan New Boyz apabila turut merakam penghargaan kepada ahlinya yang turut hadir menyaksikan konsert itu.

“Walaupun saya bergerak solo, saya tetap akan bergerak seiring dengan nama New Boyz. Siapa tahu mungkin lepas ini ada konsert Tomok, New Boyz dan Siti Nordiana pula di Singapura? Kita tengok macam mana,” kata Tomok seakan memberi bayangan akan ada lagi konsert menggabungkan mereka selepas ini.

Tidak perlu gimik, sebaliknya, keserasian yang wujud antara mereka termasuk daripada segi gabungan vokal serta pemilihan lagu yang cukup dekat di hati peminat, membuatkan rata-rata penonton terhibur dengan persembahan yang disajikan.

Selepas dua jam beraksi, Tomok dan Siti Nordiana mengakhiri persembahan dengan lagu Paling Comel sambil menghadiahkan penonton bertuah dengan patung beruang.- BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here