Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 66 warganegara asing selepas menggempur 10 premis penginapan asing di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang dalam satu operasi penguatkuasaan pada Khamis.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, operasi berkenaan dilakukan 51 anggota Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya yang bermula pada 12.05 tengah malam.
“Serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga hari. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi diatur gerak ke premis penginapan tersebut dan telah memeriksa seramai 110 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan warganegara tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 66 warganegara asing yang terdiri daripada 28 lelaki, 30 perempuan dan satu kanak-kanak perempuan warganegara Indonesia, enam lelaki warganegara Bangladesh dan satu lelaki warganegara Myanmar telah ditahan,”katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Kesemua warganegara asing yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,”katanya.
IMedikel TV






