Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 10 warga asing termasuk dua wanita selepas disyaki terbabit perniagaan pengiriman wang haram dalam serbuan berasingan di Klang, Selangor dan Brickfields di sini, pada 6 Februari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan berkata, operasi bermula pada jam 3.45 petang itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) serta dibantu pegawai dari CyberSecurity Malaysia.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke tiga lokasi premis perniagaan di Klang dan berjaya menahan satu lelaki warganegara India yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’, dua lelaki warganegara India dan dua perempuan warganegara Indonesia.
“Dalam satu lagi serbuan di sebuah premis kediaman sekitar Brickfields yang dipercayai menjadi pusat pengumpulan hasil pengendali perniagaan pengiriman wang haram, pasukan operasi berjaya menahan satu lelaki warganegara India yang dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’ bersama empat lagi lelaki warganegara India.
Beliau berkata dalam operasi khas itu ia membongkar sindiket pengiriman wang haram yang beroperasi tanpa lesen sah.

“Hasil pemeriksaan terhadap semua premis tersebut, pasukan operasi telah merampas wang tunai berjumlah RM3.62 juta, mata wang asing berjumlah Euro 1,400, Yuan 10,000 dan barangan perhiasan yang dipercayai emas yang disyaki hasil aktiviti pengiriman wang haram.
“Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah dan mensasarkan warganegara Indonesia dan India sebagai pelanggan. Sindiket ini menjalankan kegiatan mereka di sebalik kedai runcit dan kedai makan bagi mengaburi pihak berkuasa. Sindiket ini dipercayai menerima RM15,000 hingga RM60,000 sehari dan boleh mencecah sehingga RM110,000 pada musim perayaan,”katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata wang tersebut akan dihantar ke luar negara terutama Indonesia dan India.
“Sindiket tersebut dipercayai menggunakan barangan kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang haram tersebut, tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi. Sindiket ini sudah beroperasi selama setahun.
Tambah beliau, semakan awal mendapati tiga suspek lelaki yang ditahan menyalahgunakan pas, manakala dua lagi tinggal melebihi masa.
“Tiga lagi lelaki dan dua wanita warga Indonesia didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.
“Dua lelaki warganegara India ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, tiga lelaki warganegara India dan dua perempuan warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala tiga lagi lelaki warganegara India ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,”katanya.
Menurutnya warganegara asing itu akan disiasat oleh pihak BNM kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
IMedikel TV






