Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Impian seorang anak tunggal, Nurul Atiqah Husna Azli, 20, untuk bergelar guru Sejarah semakin cerah apabila menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi membolehkannya melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Lebih membanggakan, Nurul Atiqah Husna yang dibesarkan datuk dan nenek sejak berusia dua bulan berjaya memperoleh PNGK 4.0 dalam STPM, sekali gus melayakkan beliau mengikuti pengajian Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) dengan Kepujian di USM selama empat tahun.
Namun, kegembiraan menerima tawaran pengajian itu diselubungi kebimbangan apabila Atiqah berdepan kekangan kewangan untuk menampung keperluan melanjutkan pengajian.
Datuknya, Ghani, tidak lagi mampu bekerja sejak 2007 selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan beliau menjadi Orang Kurang Upaya (OKU), manakala neneknya, Noriah, pula semakin berusia dan tidak lagi berupaya mencari pendapatan.
Keadaan itu menyebabkan Atiqah yang bercita-cita menjadi guru Sejarah buntu memikirkan kos persiapan serta perbelanjaan untuk memulakan pengajiannya di USM.
Menyedari keadaan tersebut, MAIK tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada perjalanan pendidikan Atiqah.
Nurul Atiqah Husna menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MAIK, khususnya para pembayar zakat yang membantu merealisasikan impiannya untuk melanjutkan pengajian.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada MAIK serta semua pembayar zakat yang membantu saya. Bantuan ini sangat bermakna dan memberi peluang kepada saya untuk meneruskan pengajian di USM,” katanya.
Dia turut mendoakan agar segala urusan para pembayar zakat dipermudahkan, dilimpahkan rezeki serta terus diberikan kekuatan untuk melaksanakan amal jariah dan membantu lebih ramai insan yang memerlukan.
Kisah Nurul Atiqah Husna menjadi bukti bahawa zakat bukan sekadar bantuan untuk meringankan beban kehidupan, malah mampu membuka ruang kepada golongan memerlukan untuk mengubah masa depan melalui pendidikan.
Sementara itu Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli, ketika menziarahi keluarga Nurul Atiqah Husna di kediaman mereka di Kampung Tal Tujuh, di sini,turut menyampaikan Bantuan Am RM1,200 dan sumbangan khas RM3,000 bagi membantu persiapan ke universiti serta perbelanjaan sementara menunggu biasiswa pengajian di USM.
“MAIK turut meluluskan Bantuan Bulanan RM400 sebulan kepada datuk dan nenek Nurul Atiqah Husna bagi membantu meringankan beban kehidupan mereka,” katanya.

Khabar gembira itu disambut dengan linangan air mata kesyukuran oleh neneknya yang selama ini bergantung kepada wang belanja daripada anak lelaki mereka serta bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Pendidikan adalah antara jalan terbaik untuk mengubah masa depan sesebuah keluarga, khususnya dalam kalangan keluarga asnaf.
“Gunakan peluang ini sebaik-baiknya. Apabila berjaya nanti, jadilah seorang pembayar zakat dan bantu pula mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan Nurul Atiqah Husna supaya belajar bersungguh-sungguh, mencapai cita-cita dan menjadi seorang pendidik yang mampu memberi sumbangan kepada keluarga serta masyarakat.
Katanya, bantuan yang disalurkan hasil amanah pembayar zakat itu diharapkan dapat memberikan keselesaan kepada Atiqah sepanjang melanjutkan pengajian di USM, selain menjadi suntikan semangat untuknya melakar masa depan lebih cerah.
Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Pegawai Agihan Zakat MAIK, Siti Farahida Fauzi dan Pegawai Tadbir (Pendidikan) MAIK, Nur Hanis Alias.
IMedikel TV






