Home Buletin Semasa ALI KILAUAN EMAS DIRAWAT DI HTAA SELEPAS DISERANG STROK

ALI KILAUAN EMAS DIRAWAT DI HTAA SELEPAS DISERANG STROK

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Pemenang Rancangan Realiti TV Kilauan Emas Musim Pertama (2011), Mohd Ali Norpiah Mohd Johar kini menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini selepas diserang strok ringan kelmarin.

Keadaan kesihatan artis veteran berusia 61 tahun itu terjejas sejak lebih enam tahun disebabkan penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi yang serius tanpa mendapat rawatan khusus.

Isterinya, Salmah Muhamad. 58, berkata suaminya diserang strok ringan kira-kira 11.30 pagi kelmarin ketika berada di rumah di Taman Seri Inderapura, dekat sini sebelum dikejarkan ke HTAA untuk mendapatkan rawatan.

“Kesihatan suami kurang memuaskan sejak enam tahun lalu dan semakin serius hingga menjejaskan pergerakan, namun dia masih mampu menguruskan diri dan melakukan aktiviti harian seperti biasa sambil berniaga burger dihadapan rumah bagi mengisi masa lapang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, masalah kesihatan juga menyebabkan dia tidak lagi mampu menerima jemputan persembahan seperti sebelum ini kerana masalah suara kurang jelas, faktor berkenaan turut menjejaskan pendapatan keluarga.

“Suami tidak berminat untuk mendapatkan rawatan secara berkala di hospital, faktor berkenaan menyebabkan penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi yang ditanggung tidak dapat dikawal. Usaha keluarga memujuk bagi mendapatkan rawatan hanya sia-sia.

“Saya berdoa dan berharap selepas ini sekiranya dia pulih, dia patuh dengan nasihat doktor seterusnya dapat makan ubat disediakan,” katanya.

Bapa enam cucu itu yang memiliki suara mirip Raja Pop Negara, Datuk Jamal Abdillah muncul Juara Rancangan Realiti TV Kilauan Emas Musim Pertama menerusi lagu “Permaidani”.

Salmah berkata, sebelum ini ketika tahap kesihatan suami terlalu lemah dia hanya makan ubat yang dibeli di farmasi, dia tetap berkeras tidak mahu mendapat rawatan di hospital walaupun usaha memujuknya dilakukan keluarga.

Katanya, ketika sihat suami pernah membantu anak saudaranya menjual durian selain pelbagai pekerjaan lain bagi menambah pendapatan keluarga. Keadaan kesihatannya yang semakin menurun menyebabkan dia tidak dapat bekerja.

“Saya berharap semua pihak dapat mendoakan supaya suami saya diberi kesembuhan dan sanggup menerima rawatan secara berterusan di hospital selepas ini.

“Saya sekeluarga kini reda dengan ujian yang diterima ini, kami setiap hari berdoa semoga ada sinar disebalik ujian berat diterima suami,”kata ibu tujuh cahaya mata itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here