Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan lemas lebih 16 jam bersama abangnya di Sungai Kampung Kubang Telaga di sini, ditemui pagi tadi.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa menemukan mayat Muhammad Asadullah Zehan, 11, pada 9.40 pagi tadi, manakala mayat arwah abangnya, Muhammad Amirul Mukminin Zehan, 17, ditemukan pada 8.15 malam tadi.
Terdahulu, dua beradik itu dilaporkan lemas selepas dipercayai terjatuh ketika memancing di sungai berkenaan pada 5.15 petang semalam.

Komander Operasi Kanan Bomba, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali, berkata pihaknya mula menjalankan operasi menyelam mencari mangsa pada 9.29 pagi dan menemukan mayat Muhammad Asadullah pada 9.40 pagi dengan jarak enam meter dari lokasi mangsa terjatuh.

“Seramai dua anggota yang turut membuat pencarian untuk mangsa yang kedua berumur 11 tahun dalam masa 12 minit selaman pada jam 9.40 pagi, mangsa dijumpai tidak jauh dari mangsa pertama iaitu abangnya yang sudah dijumpai pada jam 8.15 malam tadi.
“Mangsa dijumpai di kawasan dasar sungai dalam anggaran 3.5meter kedalaman sungai,” katanya kepada pemberita di Kampung Kubang Telaga, di sini, hari ini.

Katanya, seramai 19 anggota bersama sebuah jentera dan sebuah bot digunakan sepanjang operasi pencarian itu.
Menurut seorang saksi, Sufian Mat Yassin, 64 berkata sebaik sahaja dia tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa sudah tenggelam dan tidak kelihatan di atas titi mahupun di tepi sungai tersebut.

“Kita sampai di lokasi kejadian, kanak-kanak itu sudah tidak ada dan sudah jatuh ke dalam sungai.
“Saya terserempak seorang lagi kanak-kanak di tepi jalan iaitu saksi Ahmad Faezie Ikram Fauzi, 17, yang sedang berjalan pulang untuk memberitahu ibu bapa mangsa bahawa anak mereka jatuh ke dalam sungai,” katanya.
Terdahulu, dua beradik itu ke sungai berkenaan bersama rakannya, Ahmad Faezie untuk memancing, kemudian adik kepada mangsa (Muhammad Asadullah) tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai lalu mangsa terus terjun untuk menyelamatkan adiknya.
IMedikel TV






