Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Mengambil peluang untuk terus menyumbang kepada golongan yang memerlukan, Yayasan Raja Shamri sekali lagi menyantuni anak-anak bagi persiapan membeli kelengkapan sekolah.
Pengasas Yayasan Raja Shamri dan The 3rd Force, Raja Shamri Raja Husin, berkata seramai 50 pelajar dari jajahan Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat menerima sumbangan tersebut.

“Program Back To School ini adalah program tahunan kita yang dibantu sukarelawan 3rd Force di seluruh negeri.
“Seramai 50 orang penerima sumbangan terdiri daripada golongan anak orang miskin, asnaf dan anak yatim dari tiga jajahan iaitu di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat.
“Tahun ini adalah tahun ketiga program kita bekerjasama dengan pihak Mydin Mall,”katanya kepada pemberita di sidang media selepas Program Ceria Ke Sekolah, di Mydin Tunjong, di sini, hari ini.
Menurut Raja Shamri anggaran peruntukan dalam program tersebut adalah antara RM10,000 hingga RM15,000.
“Kita belanjakan antara RM10,000 hingga RM15,000 dalam program ini. Secara puratanya anggaran antara RM100 hingga RM150 seorang.
“Peruntukan bagi sumbangan ini adalah daripada penyumbang tetap dan penyumbang baru kepada kami. Jadi, melalui penyumbang tetap ini kita yakin untuk bekerjasama dengan pihak Mydin dalam program ini.
“Manakala penyumbang baru pula membolehkan kita menambah jumlah penerima,”katanya.
Tambahnya penerima bukan sahaja menerima pakaian sekolah, malah mereka juga menerima beg sekolah, kasut sekolah, alat tulis dan lain-lain yang berkenaan.
Katanya program itu diteruskan lagi bagi mereka yang mendapat tawaran ke sekolah khusus.
“Ada juga anak-anak kita yang menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh, jadi mereka ada baju khusus, kita akan bawa pada hari lain untuk keperluan khusus mereka,”katanya.

Sementara itu, Pengurus Mydin Mall Kelantan, Roszaliza Mat Nawi, berkata Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama agensi-agensi terlibat akan diteruskan dengan memberi diskaun khusus kepada mereka.
“Pihak Mydin memberi diskaun khusus untuk CSR kepada pihak yang terlibat. Kita menyokong Badan Bukan Kerajaan (NGO). Kita juga ada kaunter khas dan staf terlibat untuk membantu.
“Kita akan menambah baik dari masa ke semasa di samping kita menambah barang-barang kelengkapan sekolah.
“Bukan sahaja pakaian sekolah malah pihak kami juga menambah pakaian badan beruniform, kalau dulu kita hanya jual baju sekolah sahaja tetapi sekarang kita sudah tambah baik,”katanya.
Seorang penerima, Muhammad Asrol Ahmad, 16, yang kehilangan ayah sejak 2016 kerana serangan jantung bersyukur kerana sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringkankan beban keluarganya.
“Saya berterima kasih kepada Yayasan Raja Shamri dan 3rd Force Pasir Mas kerana membantu saya membeli kelengkapan sekolah.
“Cuma tahun ini, saya dilantik menjadi pengawas, jadi hari ini saya membeli seluar sekolah, kasut, stokin dan tali pinggang sahaja. Baju pengawas perlu dibeli di koperasi sekolah,”katanya.
IMedikel TV






