Home Hiburan BELAJAR NYANYI RUMAH KENDURI

BELAJAR NYANYI RUMAH KENDURI

DATUK Seri Siti Nurhaliza memulakan karier nyanyiannya ketika berusia 16 tahun pada 1995 kerana minat dan rezeki diperoleh apabila menjuarai program pencarian bakat, Bintang HMI terbitan RTM.

Muncul dengan lagu Jerat Percintaan ciptaan bersama Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, Othman Zainuddin dan Hani MJ itu, ia berjaya melonjakkan populariti Siti.

Bagaimanapun, Biduanita Negara ini menyifatkan ilmu vokal yang diperolehnya sejak tiga dekad berada dalam bidang nyanyian adalah menerusi pengalaman dan tidak pernah berkesempatan mengikuti kelas vokal.

Siti berkata, dia amat kagum dengan kebanyakan bakat muda bidang nyanyian tanah air masa kini sanggup mengikuti kelas belajar vokal daripada guru muzik berkaliber.

“Apabila menyanyi dan menjadikan ia karier, pastikan berilmu. Saya dulu tak sempat nak masuk kelas (vokal) sebab tak ada kelas seni pun di kampung.

“Belajar menyanyi pun di majlis kenduri kahwin dan pengalaman adalah cikgu saya dan juga sesiapa saja (penerbit lagu) yang menjaga vokal saya. Sejujurnya itulah cikgu saya,” katanya.

Siti berkata, dulu memang dia tidak mengambil kelas vokal walaupun ketika bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records Sdn Bhd.

“Cikgu saya di dalam studio adalah arwah abang D (panggilan mesra Allahyarham Adnan). Dialah guru pertama saya. Dialah orang pertama yang mengajar saya.

“Benda pertama yang dia nak ajar adalah ‘feel’ (penghayatan) dulu. Cara dapat ‘feel’, macam mana nak menghayati lagu itu. “Siti tutup mata,” kata arwah pada saya.

“Itulah yang saya gunakan dengan mengikut ilmu yang dikongsikan oleh arwah. Kalau rasa nak dapatkan ‘feel’ lagu, tutup mata dan bayangkan,” katanya.

Menurut Siti, cuma sekarang kebanyakan penyanyi tidak menyanyi sambil tutup mata dan kena buka mata itu. Apapun, ia adalah hak masing-masing.

Terdahulu, Siti ditemui di majlis menandatangani kontrak penyanyi remaja, Ummi Umairah atau Umai, 14, yang juga anak saudaranya sebagai artis pertama di bawah naungan syarikat pengurusan bakat, Siti Nurhaliza Legacy (SNL), baru-baru ini.

Mengulas pemilihan Umai, katanya, gadis itu mempunyai potensi besar untuk pergi jauh dalam industri seni dan bakatnya perlu digilap dengan sebaik mungkin, apatah lagi antara mereka mempunyai ikatan kekeluargaan.

“Saya melihat Umai mula menyanyi sejak dia kecil lagi. Ketika itu setiap kali dia datang ke rumah, memang akan menyanyi. Pasanglah apa saja lagu, pasti dia terus menyanyi umpama ada ‘auto button’.

“Walaupun kekuatan nyanyian Umai pada lagu balada tetapi dia tetap mampu menyanyikan dengan sangat baik untuk lagu-lagu genre lain. Umai juga boleh menyanyi lagu Mandarin,” katanya.

Enggan terburu-buru mengikat kontrak artis di bawah SNL, Siti berkata, buat masa ini biarlah Umai seorang dulu dan pada masa akan datang diperkenalkan pula bakat baharu lain yang masih dalam proses mengenalpasti. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here