Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil inisiatif mengawal harga barang kawalan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina bermula 25 Januari hingga 2 Februari ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, kerajaan bimbang sekiranya ada pembekal atau pemborong menaikkan harga barangan disebabkan permintaan tinggi pada musim tersebut.
“Tujuan kerajaan mengawal barang-barang ini ialah untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana pembekal dan pemborong menaikkan harga disebabkan permintaan tinggi musim perayaan.
“Pelaksanaan harga musim perayaan ini ada 16 barangan yang kita kawal iaitu lima hari sebelum dua hari semasa dan tiga hari selepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas memantau harga barang kawalan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina, di sebuah pasaraya, di sini, pada Ahad.
Katanya, barang berkenaan ialah ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, bawang kuning besar, bawang merah besar import, sawi pendek, cili merah, kobis bulat import, lobak merah, lobak putih, ubi kentang import, halia tua, kepak ayam dan tiga lagi barangan lain.
Azman berkata, tempoh pelaksanaan skim tersebut bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna kerana dapat menikmati harga yang berpatutan manakala peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan terlalu lama.
Selain itu, penentuan harga berkenaan juga dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik kerajaan iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain industri.
Dalam perkembangan sama, pihaknya turut menghantar pegawai penguatkuasa untuk memantau jualan barang di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
IMedikel TV






