Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Kedatangan haid menjadi mimpi ngeri bagi sesetengah wanita yang mempunyai senggugut yang teruk.
Malah ada dalam kalangan mereka perlu mendapatkan rawatan di hospital akibat senggugut teruk.
Pengalaman senggugut bagi mereka yang mengalaminya sendiri berbeza dengan individu lain.
Malah ramai yang mencari-cari cara untuk menghilangkan senggugut yang teruk sama ada melalui rawatan perubatan atau tradisional.

Sebelum itu, kita kongsikan faktor penyebab berlakunya senggugut.
Menurut portal hellodoktor sesetengah individu cenderung mengalami kekejangan haid yang teruk disebabkan beberapa faktor iaitu:
- Mempunyai tabiat merokok
- Mengalami pendarahan haid berat
- Tidak pernah hamil
- Mencapai akil baligh sebelum berumur 11 tahun
Masalah senggugut teruk juga boleh disebabkan oleh keadaan perubatan seperti:
1. Sindrom pramenstruasi (PMS)
PMS adalah keadaan biasa disebabkan oleh perubahan hormon dalam tubuh yang berlaku satu hingga dua minggu sebelum haid bermula. Gejala biasanya hilang selepas pendarahan bermula.
2.Endometriosis
Keadaan perubatan ini berlaku apabila sel dari lapisan rahim tumbuh di bahagian lain tubuh, contohnya seperti di tiub fallopio, ovari atau tisu yang melapisi pelvik.
3.Fibroid
Fibroid adalah tumor bukan kanser yang memberi tekanan pada rahim atau menyebabkan haid yang sakit dan tidak normal, walaupun selalunya tidak menimbulkan sebarang gejala.
4.Penyakit radang pelvis (PID)
PID adalah jangkitan pada rahim, tiub fallopio atau ovari yang disebabkan oleh bakteria faraj yang mengakibatkan keradangan pada organ pembiakan dan kesakitan
5.Adenomiosis
Keadaan jarang berlaku ini melibatkan tisu yang biasanya melapisi rahim mula tumbuh pada dinding otot rahim, sekali gus menyebabkan keradangan, tekanan dan kesakitan. Ia juga mengakibatkan kitaran haid lebih lama dan berat.
6.Stenosis serviks
Ini juga adalah keadaan yang jarang berlaku di mana serviks mengecil atau sempit sehingga melambatkan aliran haid. Ia kemudiannya menyebabkan peningkatan tekanan di dalam rahim lalu mengakibatkan senggugut teruk.
Untuk itu, bagi menghilangkan rasa senggugut, anda boleh mencuba beberapa tips yuang dikongsikan di bawah:
- Tuaman air panas
- Makan ubat tahan sakit seperti mefenamic acid, naproxen.
- Ambil pil perancang setiap hari
- Minum air kosong mencukupi
- Banyakkan bergerak dan lakukan senaman
IMedikel TV






