Home Hiburan STATUS CHE PUAN MUNGKIN SEBAB PENERBIT TAKUT GUNA KHIDMAT JULIANA

STATUS CHE PUAN MUNGKIN SEBAB PENERBIT TAKUT GUNA KHIDMAT JULIANA

KUALA LUMPUR: Kehilangan Che Puan Juliana Evans dalam radar industri lakonan bukanlah kerana terlalu selektif memilih karya untuk dibintangi.

Sebaliknya, faktor mendorong pelakon dan pengacara berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini mundur seketika disebabkan perlu memberi tumpuan membesarkan dua cahaya mata perempuan, sulung berusia lima tahun dan si bongsu dilahirkan setahun setengah yang lalu.

Juliana, 36, mengaku perlu mengambil masa menurunkan berat badan selepas melahirkan anak kedua pada 17 Jun 2023 sebelum kembali beraksi.

“Saya berhenti sekejap disebabkan melahirkan anak, selain berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19. Ketika itu, saya masih belum cukup yakin untuk kembali, jadi ambil masa berehat seketika.

“Selepas melahirkan anak dan berat badan mula turun, saya rasa bersedia untuk kembali dalam bidang lakonan. Selain itu, anak pun sudah besar, jadi semuanya baik-baik sahaja,” katanya.

Ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem terbaharu lakonannya, Bisikan Dosa di ibu negara, baru-baru ini, pemilik nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans ini tidak menafikan ada juga kemungkinan penerbit takut mendapatkan khidmatnya kerana status ‘Che Puan’ dimiliki.

Juliana yang sudah terjun dalam industri seni seawal usia 11 tahun dengan menjadi pengacara, berkata rasa cintanya terhadap bidang seni sangat dalam.

“Saya memang memilih naskhah yang akan dibintangi sejak dulu. Mungkin ada juga penerbit atau pengarah fikir sukar untuk mendapatkan saya, malah mungkin juga ramai fikir saya sudah tidak berlakon.

“Tapi semua itu tidak benar, saya masih berlakon. Mengapa perlu berhenti sebab saya belajar ilmu lakonan sehingga Los Angeles (LA),” katanya kepada BH Online.

Juliana menegaskan, pembabitannya dalam industri lakonan bukan semata-mata untuk ‘memburu’ pendapatan hasil daripada pekerjaan dilakukan.

“Kalau hendak demand pun tak boleh, saya lebih memikirkan kecintaan terhadap bidang lakonan. Mengenai bayaran, saya fikir setiap orang dalam industri perlu faham, tapi apapun, saya buat kerana cinta bidang ini.

“Saya tak buat untuk duit atau meletakkan sasaran jumlah tertentu setiap kali berlakon. Saya baru bermula dengan produksi sendiri, jadi saya juga akan keluarkan naskhah sendiri.

“Saya suka bidang pengacaraan dan lakonan, semua ini juga sudah dalam diri saya. Jadi, tiada sebab untuk berhenti,” katanya.

Filem Bisikan Dosa arahan Faizul A Rashid menyaksikan Juliana kembali ke layar perak dengan membawa watak Doktor Delina.

Karya terbitan Yusrych Global Sdn Bhd yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak Khamis lalu itu turut dibintangi Farid Kamil, Sara Ali, Uqasha Senrose, Sherry Merlis dan Syazuwan Hassan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here