GENEVA: Tahun 2024 mencatatkan suhu purata global tertinggi yang pernah direkodkan, melepasi had pemanasan kritikal buat kali pertama, menurut laporan dari Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).
Walaupun had pemanasan 1.5 darjah Celcius yang dipersetujui dalam Perjanjian Paris belum dilanggar secara kekal, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa dunia berada dalam ‘bahaya besar’.
Ketua PBB, Antonio Guterres, menegaskan penilaian daripada WMO adalah jelas bahawa pemanasan global adalah ‘fakta yang perlu diakui’ dan menggesa tindakan iklim segera dilakukan.
“Suhu yang membara pada 2024 memerlukan tindakan iklim yang luar biasa pada 2025, masih ada masa untuk mengelakkan bencana iklim yang paling teruk dan pemimpin perlu bertindak sekarang,” katanya.
Ini susulan daripada laporan WMO bahawa lima set data antarabangsa mengesahkan 2024 sebagai tahun paling panas dan memecah rekod dalam tempoh sedekad dengan suhu permukaan purata global ialah 1.55 darjah Celsius di atas paras pra-industri.
Amerika Syarikat (AS) menjadi negara terbaharu yang melaporkan rekod panas melampau, mengakhiri tahun yang penuh dengan taufan dan puting beliung yang membawa kemusnahan besar.
Haba berlebihan itu mempercepatkan cuaca melampau dan 2024 menyaksikan negara-negara dari Sepanyol hingga Kenya, AS dan Nepal mengalami bencana yang menelan kos lebih AS$300 bilion (RM1.3 trilion) menurut beberapa anggaran.
Los Angeles kini sedang bergelut dengan kebakaran hutan yang memusnahkan ribuan bangunan dan memaksa puluhan ribu orang melarikan diri dari kediaman mereka.
Bagi saintis iklim utama NASA, Gavin Schmidt, beliau meramalkan ia akan menjadi tahun ketiga paling panas, merujuk kepada penentuan AS bahawa tahun ini bermula dengan La Nina yang lemah, satu pola cuaca global yang dijangka membawa sedikit penyejukan.
Pemantau iklim Eropah Copernicus, yang menyediakan satu set data, mendapati bahawa dua tahun lalu sudah melebihi had pemanasan yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris 2015.
“Suhu global melonjak melangkaui apa yang pernah dialami manusia moden,” katanya.
Johan Rockstrom dari Institut Potsdam untuk Penyelidikan Kesan Iklim menyebut peristiwa itu sebagai ‘tanda amaran yang nyata’.
“Kita kini merasai pengalaman pertama dunia dengan suhu 1.5 darjah Celcius yang menyebabkan penderitaan dan kos ekonomi pada tahap belum pernah dialami oleh manusia dan ekonomi global,” katanya.
Kematian 1,300 jemaah haji di Arab Saudi semasa cuaca panas melampau, ribut tropika yang bertali arus di Asia dan Amerika Utara, banjir bersejarah di Eropah dan Afrika menandakan antara peristiwa penting akibat perubahan iklim pada 2024. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






