KUALA LUMPUR: Siapa sangka diuji hingga aktiviti penggambaran terjejas apabila hampir seluruh tenaga kerja dijangkiti COVID-19 ketika fasa virus memuncak, filem seram, Papa, akhirnya menemui penonton di pawagam, sejak Khamis lalu.
Syarikat produksi, Madness Film akur atas pelbagai kekangan, versi akhir filem berkenaan, akhirnya disajikan.
Penerbit Eksekutif, Nurul Azirah Salleh, berkata skrip asal filem itu terpaksa diolah sesuai tuntutan tugas tenaga kerja sedia ada, ketika penggambaran berlangsung.
“Kami pernah tinggal dua kru pada hari-hari terakhir penggambaran, iaitu pengarah dan jurukamera akibat petugas lain terpaksa dikuarantinkan.
“Paling mencabar apabila pengarah seni dijangkiti COVID-19, banyak perkara yang kami rancang termasuk peralatan atau ‘props’ yang hendak diguna, terpaksa dibatalkan.
“Jadi, kami hanya gunakan apa sahaja yang ada. Kalau diikutkan, memang tidak puas hati kerana banyak yang boleh dilakukan untuk filem ini,” katanya pada majlis tayangan perdana filem Papa di sini, baru-baru ini.
Nurul Azirah berkata, penggambaran filem itu tidak boleh ditangguhkan kerana mereka terpaksa akur kepada permit dimohon ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, biarpun ramai yang dijangkiti COVID-19, penggambaran filem Papa diteruskan mengikut jadual selama dua minggu, membabitkan petugas terhad.
“Kami bernasib baik kerana pelakon tidak dijangkiti. Kru pula tidak sihat pada hujung penggambaran
“Kebetulan, lokasi yang kami pilih di Johor, iaitu jauh dari orang dan di hutan. Jadi, kami guna apa sahaja yang ada di persekitaran.
Filem Papa yang diarah ZH Emdee, membariskan pelakon Hasnol Rahmat, Puteri Balqis, Lia Natalia, Shahronizam Md Noor, Aniq Durar dan Amin Idris.
Filem ini mengisahkan Harris lakonan Hasnul membawa anaknya, Lisa (Puteri Balqish) berkhemah di hutan untuk menghabiskan masa bersama.
Namun, percutian mereka bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Lisa hampir dirogol seorang lelaki. Bagi melindungi Lisa, Harris membunuh penyerang Lisa yang juga anak kepada ketua ajaran ilmu hitam, Salleh (Shahronizam).
Sejak itu, gangguan mistik terjadi kepada Lisa dan keluarga. Dalam keadaan terdesak, Harris menghilangkan diri manakala isterinya, Rihanna (Lia Natalia) mencari bantuan ilmu hitam untuk membawa suaminya pulang. – BH Online –
IMedikel TV






