Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Adakah anda sedar rutin untuk menjaga gigi adalah dengan melakukan pemeriksaan gigi enam sebulan atau dua kali setahun?
Sebenarnya ramai yang berjumpa dengan doktor hanya selepas berasa sakit. Ada juga yang membiarkannya dengan mengambil pil tahan sakit di mana-mana farmasi untuk menghilangkan kesakitan.
Dan hingga akhirnya masalah yang kecil menjadi lebih parah.
Hakikatnya, ramai yang tidak tahu mengapa kita perlu berjumpa dengan doktor gigi.
Menurut portal hellodoktor, ramai yang enggan berjumpa dengan doktor gigi dan menganggap ia bukanlah sesuatu perkara yang penting.
Sebenarnya, pemeriksaan gigi dapat membantu menjaga kesihatan gigi dan membolehkan doktor untuk melihat jika ada sebarang masalah pergigian yang terjadi.
Tindakan pemulihan yang terperinci juga akan dilakukan oleh doktor gigi. Ia juga dapat mengelakkan anda daripada mengalami kesakitan yang lebih teruk dan mengeluarkan kos rawatan yang lebih besar.
Selain kerosakan gigi, penyakit gusi juga lazim berlaku dalam kalangan orang dewasa, termasuklah orang yang lebih tua yang boleh menyebabkan gigi mereka menjadi longgar dan kehilangan banyak gigi.
Menurut Dekan Fakulti Pergigian IMU University, Profesor Seow Liang Lin, ramai kanak-kanak yang mewarisi perasaan fobia untuk berjumpa dengan doktor gigi daripada ibu bapa mereka sendiri.
Ini menjadikan kitaran itu berlanjutan dan boleh memudaratkan kesihatan mulut di kalangan semua peringkat usia, tambahnya lagi.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata, karies awal kanak-kanak (ECC) adalah sesuatu yang biasa di kalangan bayi dan anak-anak kecil.
Begitu juga isu gigi rosak dalam kalangan kanak-kanak lebih berusia dan remaja, yang lebih cenderung makan makanan diproses, kudapan dan minuman bergula.
Semua itu menyumbang kepada kerosakan gigi, terutama apabila mereka kerap mengudap sehingga meningkatkan pengeluaran asid di dalam mulut.
Di Malaysia, karies awal kanak-kanak menjadi cabaran utama di kalangan kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun.
Dalam tinjauan kesihatan mulut kebangsaan terakhir yang dijalankan pada tahun 2015 terhadap kanak-kanak pra-sekolah, kekerapan berlakunya karies adalah 71.3 peratus.
Satu lagi kajian menunjukkan 63.4 peratus daripada kanak-kanak pra sekolah mempunyai sekurang-kurangnya satu gigi yang rosak.
Jadi, untuk mendapatkan gigi yang lebih sihat, anda perlu berjumpa dengan doktor.
Kita akan kongsikan dalam artikel seterusnya berkenaan kesihatan pergigian.
Sumber: hellodoktor
IMedikel TV






