GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi jaminan risiko jangkitan manusia daripada wabak selesema burung H5N1 kekal rendah walaupun sejumlah 76 kes dilaporkan di seluruh dunia sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun, terdapat risiko lebih tinggi dalam kalangan pekerja ladang dan individu lain yang terdedah kepada haiwan dijangkiti, kata Pemangku Pengarah Pengurusan Pencegahan Wabak dan Pandemik WHO, Maria Van Kerkhove ketika menyampaikan taklimat di ibu pejabat PBB.
Katanya, majoriti kes pada tahun ini berlaku terhadap pekerja ladang dengan Amerika Syarikat (AS) melaporkan 61 jangkitan di tengah-tengah wabak dalam hidupan liar, ternakan ayam dan itik serta membabitkan lembu tenusu, baru-baru ini.
“Walaupun banyak perhatian terhadap situasi selesema burung di AS tahun ini, terdapat kes yang dilaporkan di Australia, Kanada, China, Kemboja dan Vietnam,” katanya.
Sehubungan itu, WHO menilai keseluruhan risiko kesihatan awam adalah rendah, tetapi bagi individu yang terdedah kepada pekerjaan termasuk pekerja ladang, risiko itu dianggap ‘rendah hingga sederhana’.
Beliau berkata, tahap risiko bergantung kepada langkah mitigasi yang dilaksanakan seperti penggunaan peralatan pelindung diri (PPE), termasuk pelitup muka, sarung tangan, but dan pelindung mata.
Tiada penularan jangkitan dari manusia ke manusia.
Van Kerkhove turut menekankan, virus H5N1 kekal dalam sifat burung dan tidak menyesuaikan diri untuk merebak antara manusia.
“Setakat ini, antara kes-kes ini tiada penularan daripada manusia ke manusia yang dilaporkan atau dikenal pasti,” katanya yang memetik penyiasatan epidemiologi dan virologi.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan virus berkenaan sedang berkembang dan siasatan menyeluruh perlu mengikuti setiap kes manusia untuk mengesan sebarang kemungkinan penularan.
Menjawab kebimbangan mengenai keselamatan makanan di tengah-tengah kebimbangan wabak H5N1 dalam lembu tenusu, beliau berkata, lembu yang dijangkiti virus itu didapati membawa muatan virus yang tinggi dalam susu yang diperoleh daripadanya.
“Penting untuk mengambil maklum nasihat kami sebelum ini untuk mengambil susu pasteur. Jika susu pasteur tidak tersedia, memanaskan susu sehingga mendidih boleh menjadikannya selamat untuk dimakan,” katanya.
Selain itu, daging dan telur juga perlu dimasak dengan teliti di kawasan terjejas oleh wabak selesema burung. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






