Home Hiburan DRAMA IKUT TREND

DRAMA IKUT TREND

DRAMA vertikal bersiri pertama terbitan TV3, Benci Jadi Cinta sudah mula ditayangkan di aplikasi TikTok Drama Sangat TV3 bermula Isnin lalu.

Drama bersiri 20 episod berdurasi dua minit bagi setiap episod itu menampilkan gandingan pelakon baharu, Harissa Adlynn, Syahmie Thsaqeef dan Zheng Ning selaku teraju utamanya.

Mengangkat genre cinta dan romantik komedi, Benci Jadi Cinta memaparkan hubungan antara Orked (Harissa) dan Syah (Syahmie), dua rakan sekerja yang sering bertentangan pendapat.

Harissa yang memegang watak utama sebagai Orked berkata, dia teruja kerana kali pertama berlakon dalam drama untuk aplikasi TikTok.

“Walaupun saya sudah banyak berlakon drama dan filem, tetapi berlakon dalam siri untuk TikTok ini pengalaman baru kerana ia berdurasi dua minit untuk setiap episod.

“Saya juga berbincang dengan pengarah dan pelakon untuk memberikan yang terbaik pada siri ini. Walaupun saya dan Syahmie dan Zhen baru kali pertama bergandingan tetapi tiada masalah untuk mendapatkan keserasian antara satu sama lain,” katanya.

Syahmie yang memegang watak sebagai Syah berkata, dia teruja dan bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk watak hero dalam drama itu.

“Ia kali pertama saya bawa watak hero. Memang ada tekanan untuk menjiwai watak Syah itu. Namun, saya melihatnya sebagai cabaran untuk menyerlahkan sisi terbaik sebagai pelakon.

“Cerita ini ada ada kelainan kerana membawa semula aura romantik komedi klasik yang mempunyai sentuhan baru, warna, dan keunikan yang menjadikannya sesuatu yang segar untuk ditonton,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran berkata, pihaknya sentiasa komited untuk mengikuti trend semasa dengann menggunakan TikTok sebagai platform yang memperluaskan produk TV3.

“Dengan keupayaan platform ini mencetuskan fenomena, ia adalah langkah strategik untuk bergerak seiring dengan permintaan masa kini sebagai penyiar utama di Malaysia.

“Selari dengan peralihan kepada media sosial, terutama dalam kalangan generasi muda, kami yakin ini adalah langkah yang tepat,”katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here