Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
NEGERI SEMBILAN: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Skuad Ihsan MADANI PETRA menjalankan misi pemantauan dan penilaian keberkesanan pemasangan Pam Bergerak di Pintu Kawalan Air Pasang Surut atau Tidal Control Gate (TCG) sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir di beberapa kawasan berisiko sekitar Port Dickson, di sini.
PERTRA merlalui kenyataan pada Jumaat berkata, pam bergerak tersebut berfungsi mengalirkan air keluar dari kawasan banjir untuk mempercepatkan proses surut.
“Di Negeri Sembilan, tiga TCG telah dipasang di lokasi hotspot banjir di daerah Port Dickson, iaitu di Tanjung Agas, Sungai Raya, dan Kampung Paya, yang terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko banjir.
“Pam di Tanjung Agas dan Sungai Raya masing-masing meliputi kawasan seluas 1.0 hektar, memberi manfaat kepada 15 rumah dan 50 penduduk. Manakala pam Kampung Paya meliputi kawasan seluas 3.0 hektar, memberi manfaat kepada 50 rumah dan 200 penduduk,”menurut kenyataan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya, Vagidah Rohiman MS Kader, mengesahkan bahawa sejak pemasangan pam bergerak tersebut, 1 kawasan itu tidak lagi mengalami banjir besar, dengan kejadian terakhir berlaku pada tahun 2021.
Manakala Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Agas, Hairi Dahalan, turut berkongsi pandangan sama, menyatakan bahawa pam bergerak ini bukan sahaja membantu penduduk setempat tetapi juga mengurangkan kerosakan harta benda akibat banjir.
Dalam pada itu, jumlah keseluruhan pam bergerak yang terdapat di seluruh negara merekodkan jumlah sebanyak 284 unit.
Dalam perkembangan sama, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Raya, Negeri Sembilan yang melibatkan kos projek berjumlah RM21,800,000 dijangka bermula pada Januari 2025 dapat mengurangkan risiko banjir kepada anggaran sejumlah 100 buah rumah dan 500 orang penduduk di Kampung Sungai Raya dan Kampung Tanjung Agas setelah siapnya projek menjelang tahun 2026, dengan anggaran keluasan 3km persegi kawasan banjir akan dapat dikurangkan.
PETRA serta agensi di bawahnya sentiasa terus proaktif dalam menjalankan pemantauan dan tindakan dari masa ke masa terhadap situasi banjir yang sedang berlaku terutamanya di kawasan-kawasan berisiko banjir di seluruh negara.
IMedikel TV






