KUALA LUMPUR: Mungkinkah edisi Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China kali ini akan menyaksikan pemain pertama negara muncul juara?
Itu persoalan yang timbul selepas sejak Jelajah Dunia Akhir BWF diperkenalkan pada 2018 bagi menggantikan Siri Super Final BWF, belum pernah ada mana-mana pemain negara mengecapi kejuaraan.
Melihat kepada prestasi semasa, beberapa pemain negara dilihat berpeluang untuk mencipta sejarah, antara mereka adalah dua beregu lelaki negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta gandingan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Aaron-Wooi Yik muncul juara Masters Korea, bulan lalu sekali gus layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir pada saat akhir.
Manakala Sze Fei-Izzuddin menjuarai tiga gelaran pada tahun ini iaitu Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.
Pada saingan di Hangzhou, Aaron-Wooi Yik diletakkan dalam dalam Kumpulan B bersama dua wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani.
Turut berada dalam kumpulan sama adalah pilihan kedua iaitu gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, setiap perlawanan membabitkan Aaron-Wooi Yik cukup penting.
“Bagi saya setiap perlawanan mereka perlu lakukan persediaan 100 peratus sebab mana-mana pasukan yang layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir semuanya nak menang,” kata Bin Shen.
Aaron-Wooi Yik akan membuka aksi dengan menentang wakil tuan rumah, Ji Ting-Xiang Yu, esok.
Seperti Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin turut berdepan tugas sukar dalam Kumpulan A apabila diundi bersama-sama juara Olimpik dua kali, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan; rakan senegaranya, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dan beregu nombor nombor tiga dunia yang juga pilihan pertama kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia juga dilihat berdepan ranjau berliku, tetapi bukan sesuatu yang mustahil untuknya melakar kejutan.
Sensasi negara yang menduduki ranking kelapan dunia itu diletakkan dalam Kumpulan A bersama pemain ranking nombor satu dunia, Anders Antonsen dari Denmark.
Turut berada dalam kumpulan sama adalah pemain Taiwan, Chou Tien-chen serta pemain China, Li Shifeng. – Hmetro Online –
IMedikel TV






