Home Luar Negara MEXICO TUMPASKAN PENGEDARAN FENTANYL TERBESAR DALAM SEJARAHNYA

MEXICO TUMPASKAN PENGEDARAN FENTANYL TERBESAR DALAM SEJARAHNYA

SINALOA: Mexico mengumumkan rampasan terbesar dalam sejarah dadah jenis opioid sintetik fentanyl, ketika tekanan meningkat bagi membanteras jenayah rentas sempadan penyeludupan bahan terlarang itu ke Amerika Syarikat (AS).

Setiausaha Keselamatan dan Perlindungan Rakyat Mexico, Omar Garcia Harfuch, dalam kenyataan semalam berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihak berkuasa melakukan ‘dua operasi berasingan’ di Sinaloa.

Mengulas tindakan penguatkuasaan membabitkan tangkapan ke atas dua lelaki dan rampasan senjata api itu, beliau menjelaskan, ‘lebih satu tan pil fentanyl’ dirampas di Sinaloa.

“Tindakan sedemikian akan diteruskan hingga keganasan di Sinaloa berkuarangan,” katanya.

Fentanyl adalah punca utama kematian akibat pengambilan dos berlebihan di AS. Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS menyifatkan opioid sintetik itu sebagai ‘100 kali lebih kuat’ berbanding morfin.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mendapati kematian berkaitan opioid sintetik meningkat lebih 55 peratus di negara itu dalam tempoh setahun, antara 2020 hingga 2021.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Mexico turut mengumumkan kejayaan penahanan lebih 5,200 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pencari suaka ketika mereka dalam perjalanan menuju ke sempadan AS, kelmarin.

Kedua-dua tindakan itu dilihat sebagai usaha menenangkan pentadbiran bakal Presiden AS, Donald Trump, sebelum beliau mengambil alih pentadbiran negara pada 20 Januari ini.

Trump sebelum ini, mengancam untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas barangan dari Mexico dan Kanada, kecuali jika kedua-dua negara itu mengambil tindakan mengurangkan pengedaran dadah dan pencerobohan imigresen merentasi sempadan dengan AS.

Menerusi tekanan Trump itu, pentadbiran Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, dilihat meningkatkan tangkapan ke atas pengedar dan rampasan dadah seperti mana dituntut Washington.

Bagaimanapun, Sheinbaum yang dilantik sebagai Presiden pada Oktober lalu, berkata rampasan fentanyl itu adalah hasil usaha yang sudah lama diperjuangkan.

“Sudah lama siasatan ini dilakukan dan semalam ia membuahkan hasil,” katanya.

Naib Presiden AS bakal dilantik Trump, Senator JD Vance, sering bercakap mengenai pengalaman ketagihan dalam kalangan ahli keluarganya semasa berkempen sebelum ini.

Namun, statistik kerajaan Mexico menunjukkan penurunan rampasan fentanyl sehinggalah pengumuman besar pada Rabu.

Agensi penguatkuasa undang-undang Persekutuan Mexico merampas 130 kilogram (kg) fentanyl pada separuh pertama 2024, berkurangan 94 peratus berbanding jumlah dirampas pada tahun sebelumnya. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here