Home Segmen Kesihatan MITOS TENTANG STROK

MITOS TENTANG STROK

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

Segelintir masyarakat sudah sebati dengan mitos berkaitan Strok yang mengatakan ‘Strok tidak boleh dirawat’ dan ‘tiada rawatan khusus untuk Strok’.

Ini merupakan mitos yang sering kali menjadi salah faham yang serius dalam kalangan mereka terutama pesakit Strok.

Tahukah anda strok ini mempunyai rawatan yang berkesan khususnya jika mendapat rawatan yang segera.

Menurut Profesor dalam bidang Perubatan Kecemasan, Profesor DR. Kamarul Aryffin Baharuddin ada juga mitos mengatakan suntikan jarum pada jari atau telinga boleh merawat strok.

“Ia boleh menyebabkan pesakit lambat datang ke hospital untuk mendapat rawatan yang sebenar.

“Realitinya, suntikan pada jari tidak membantu kerana salur darah yang tersumbat berada di dalam otak, bukan pada anggota atau jari-jemari,” katanya.

Tambahnya, suntikan jarum tersebut juga boleh memudaratkan pesakit.

DR. Kamarul berkata, strok boleh dicegah namun perlu menguruskan faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, merokok dan obesiti.

Malah, jelasnya gaya hidup sihat termasuk diet seimbang, senaman dan tidak merokok dapat mengurangkan risiko strok dengan ketara.

Strok juga salah satu daripada kecemasan yang mana individu perlu segera mendapatkan rawatan di hospital yang mempunyai kemudahan imbasan CT dan rawatan ubat pencair darah tPA dapat mengurangkan kerosakan otak dan meningkatkan pemulihan.

”Namun, ubat pencair darah tPA hanya berkesan sekiranya diberikan dalam beberapa jam pertama selepas simptom strok muncul.

“Pemulihan daripada strok adalah proses jangka panjang, ia boleh memakan masa berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun dan pemulihan ini juga mempunyai pelbagai bentuk terapi, termasuk fisioterapi, terapi pertuturan dan terapi pekerjaan untuk membantu pesakit mendapatkan kembali fungsi yang hilang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan strok boleh mempengaruhi emosi dan menyebabkan kemurungan dan boleh menjejaskan proses penyembuhan dan pemulihan pesakit itu.

“Di samping itu, ia juga menyebabkan kualiti hidup yang negatif kepada mereka.

“Semua pihak termasuk ahli keluarga perlu memberi sokongan emosi dan sosial, di samping mendapatkan rawatan profesional merupakan pendekatan holistik untuk pesakit strok,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here