LISBON: Pengurus Arsenal Mikel Arteta mendapat kemenangan diharapkan selepas skuadnya membelasah Sporting Lisbon 5-1 hasil persembahan hebat dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Arteta memuji kesungguhan dan kebijakan pemainnya mengawal bola ketika menentang Sporting yang membedal City 4-1 sebelum ini dan menang 17 daripada 18 perlawanan mereka dalam semua perlawanan.
“Saya sangat gembira, ia keputusan hebat menentang lawan yang bukan calang-calang,” kata Arteta. “Kami mahu tunjukkan kemampuan sebenar kami. Saya dapat rasakan tenaga sangat bagus sebelum perlawanan.
“Babak pertama sangat cemerlang dan memudahkan tugas selepas itu. Kami benar-benar bijak dan berkesan ketika menyerang mereka dan ia kemenangan penting untuk kami.”
Arsenal sukar digugat pada babak pertama sehingga mendahului 3-0 tetapi gol awal Sporting memberikan harapan buat tuan rumah sehinggalah Bukayo Saka meledak gol keempat untuk menyukarkan kebangkitan lawan.
“Atmosfera bertukar (ketika Sporting jaring gol), mereka mula dapat keyakinan tetapi selepas itu kami tunjukkan personaliti kami untuk mengawal bola, bertahan lebih bagus dan gol keempat mengubahnya sekali lagi,” kata Arteta.
“Kami perlu nikmatinya, beraksi di kejohanan ini dengan menentang pasukan terbaik. Saya gembira dan puas hati dengan pemain saya.”
Arsenal mengudang keresahan penyokong mereka selepas tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa kemenangan sebelum menang 3-0 ke atas Nottingham Forest hujung minggu lalu.
“Kami perlu konsisten, jika anda mahu juara, anda perlu menang dan menang lagi. Hari ini ia perlawanan berbeza tetapi kami mengawalnya dengan baik dan kami perlu teruskan momentum,” katanya lagi.
Kemenangan ketiga Arsenal dalam lima perlawanan Liga Juara-Juara musim ini melonjakkan mereka ke tangga ketujuh, dengan lapan pasukan teratas meraih tempat automatik ke pusingan 16 terakhir manakala kekalahan pertama Sporting meninggalkan mereka di belakang Gunners menerusi perbezaan jaringan.
Aksi Arsenal seterusnya berkunjung ke West Ham pada Sabtu ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






