BEIJING: Malang buat seorang wanita di China yang meninggal dunia 10 hari selepas menjalani satu siri rawatan laser untuk menghilangkan bintik dan tanda lahir hingga menimbulkan kebimbangan besar mengenai keselamatan pembedahan kosmetik.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, mangsa berusia 27 tahun itu dikenali dengan nama keluarga Liu, berasal dari Tianjin iaitu sebuah bandar utara di China.
Suaminya melaporkan bahawa Liu mempunyai banyak bintik di badannya dengan sebahagian daripadanya berwarna gelap dan besar.
Liu didiagnosis dengan neurofibromatosis, dan bintik cafe-au-lait atau ‘tanda lahir’ yang memerlukan beberapa prosedur penyingkiran jeragat.
Dia menjalani sembilan rawatan laser di Hospital Dermatologi Jinmen Tianjin iaitu pusat perubatan swasta, dengan kos lebih 100,000 yuan (kira-kira RM61,560).
Bagaimanapun, Liu memaklumkan doktornya bahawa simptom dialaminya semakin teruk berikutan prosedur itu.
Ibunya mendedahkan bahawa Liu pernah menghentikan rawatan kerana sakit teruk akibat penggunaan anestetik yang tidak sekata.
Pada 21 Oktober iaitu ketika prosedur kali ke-10, Liu mengalami pening selepas krim anestetik disapu padanya.
Walaupun doktor dengan cepat membersihkan krim itu, Liu kemudian sawan dan mengalami serangan jantung.
Perkhidmatan kecemasan dipanggil, dan Liu dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan segera, namun meninggal dunia 10 hari kemudian.
Doktor memaklumkan Liu meninggal dunia akibat komplikasi yang berkaitan dengan tekanan intrakranial berlebihan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






