Home Buletin Semasa KUOTA NEM RAKYAT DIBUKA SEMULA

KUOTA NEM RAKYAT DIBUKA SEMULA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Permohonan kuota bagi Program Net Energy Metering (NEM) untuk kategori domestik atau NEM Rakyat akan dibuka semula pada 25 November, dengan jumlah kuota tambahan sebanyak 50MW.

Menurut kenyataan media, penambahan itu menjadikan jumlah kuota keseluruhan untuk NEM Rakyat sejak pelaksanaannya pada tahun 2011 adalah sebanyak 450MW.

“Kuota NEM Rakyat sebelum ini telah habis dipohon pada awal bulan November 2024.

“Selain itu, bagi menyokong usaha syarikat korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dari aspek pembekalan elektrik hijau, kuota kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditingkatkan sebanyak 300MW lagi kepada 1,400MW,”katanya menurut kenyataan.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memutuskan untuk menambah kuota untuk NEM Rakyat dan NEM NOVA agar lebih ramai pengguna boleh memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.

Kerajaan juga mengambil perhatian akan pandangan umum bahawa hala tuju pelaksanaan pembangunan solar di bumbung bangunan yang lebih menyeluruh dan jelas perlu dimaklumkan kepada pemegang taruh bagi memudahcara urusan komersial.

Perkara itu telah diteliti dan pemakluman akan dilakukan dalam masa terdekat selepas kesemua aspek yang berkaitan telah dimuktamadkan. PETRA sentiasa komited untuk memastikan pelaksanaan semua inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) yang diperkenalkan adalah inklusif, adil dan memberikan manfaat kepada semua rakyat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here