Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pesakit kanser memerlukan sokongan daripada segi mental dan emosi yang kuat daripada orang sekeliling untuk menjalani kehidupan yang jauh berbeza daripada kehidupan normal sebelum ini.
Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, berkata Program Cakna Kanser 2024 adalah salah satu program untuk memberi semangat kepada mereka.

“Kami berkolaborasi bersama USains yang dinamakan Cakna Kanser, Aku Ingin Hidup. Sebenarnya ini adalah program-program yang dilaksanakan oleh CSM selaku sebagai sebuah kumpulan sokongan.
“Dengan adanya program seperti ini, mereka dapat berjumpa dengan rakan senasib. Jadi kami membimbing mereka untuk terus memberi semangat agar mereka memahami apa itu kanser dan rawatan yang perlu diambil.
“Dan yang paling penting ialah kita nak memberi motivasi dan inspirasi kepada pesakit untuk terus hidup walaupun telah diuji dengan kanser,”katanya kepada pemberita, di sini, pada Sabtu.
Menurut Zuraini, dalam program itu juga, kira-kira 170 peserta diberi pendedahan mengenai penyakit yang mereka hadapi serta perkongsiam daripada pesakit yang lain.
“Kita harap pesakit dapat ilmu untuk mereka menghadapi kanser supaya tidak terpengaruh dengan pembelian produk dan rawatan alternatif yang bukan sahaja merugikan duit dan masa tetapi ia memudaratkan kesihatan.
“Di samping itu kita hendak beritahu kepada mereka supaya jangan takut untuk membuat rawatan. Mereka perlu tahu bahawa rawatan kanser di hospital adalah selamat termasuk imoterapi, radioterapi bahkan pembedahan juga selamat.
“Dan sebenarnya kita kena faham bahawa kanser ni bukan penyakit biasa. Ia adalah penyakit yang luar biasa, rawatan bukan mudah dan bukan cepat maksudnya mereka yang menghidap kanser bukan dapat sembuh dengan cepat.
“Mereka kena faham bahawa penyakit kanser terpaksa melalui proses rawatan yang panjang, mungkin enam bulan, setahun malah ada yang enam tahun masih lagi menjalani rawatan. Jadi ini adalah proses normal jadi kena hadap dan kena bersabar,”katanya.
IMedikel TV






