Home Buletin Semasa JAIS TEGAS TERHADAP AMIL ZAKAT TANPA TAULIAH

JAIS TEGAS TERHADAP AMIL ZAKAT TANPA TAULIAH

233
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bertindak tegas terhadap individu atau pihak yang memungut zakat di negeri Selangor tanpa tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (Majlis).

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, dalam suatu kenyataan berkata pihak menegaskan perkara itu sudah termaktub dalam undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

“Perkara ini adalah selaras dengan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang dengan jelas memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dilantik sebagai amil atau selainnya diberikuasa oleh Majlis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Peruntukan ini turut menyatakan adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana individu atau pihak yang memberi laluan atau membenarkan atau menyebabkan individu atau pihak yang bertindak mengutip zakat tanpa tauliah Majlis melakukan perbuatan melakukan memungut zakat tanpa tauliah tersebut dan akan dikenakan hukuman yang sama jika sabit kesalahan,”katanya dalam kenyataan.

Menurutnya JAIS turut mengingatkan bahawa perbuatan membayar zakat melalui atau kepada individu atau pihak yang tidak ditauliahkan sebagai pemungut zakat oleh Majlis adalah suatu perbuatan yang tidak melepaskan kewajipan zakat yang wajib ke atas individu atau pihak yang mengeluarkan zakat tersebut.

““Pembayaran zakat yang dibuat kepada individu atau badan lain yang tidak diberi kuasa yang sah itu adalah tidak sah dan pembayarnya masih tidak terlepas daripada kewajipan membayar zakat itu,”katanya.

Tambahnya JAIS telah pun mengeluarkan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid dan surau seluruh negeri Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 11 November 2024 yang lalu.

“JAIS menyedari ada segelintir individu dan pihak yang menggunakan masjid atau surau yang menamakan kutipan infak mereka sebagai zakat. Perbuatan sedemikian adalah suatu kesalahan dan penderma yang menderma atas niat zakat adalah tidak sah dan tidak melepaskan kewajipan zakatnya.

“Pihak pentadbir masjid dan surau turut boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan kesalahan dengan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah Majlis dilakukan oleh individu atau pihak terbabit,”katanya.

Beliau berkat kutipan zakat di negeri Selangor adalah sangat penting untuk sentiasa berada pada jumlah yang signifikan berdasarkan bilangan pembayar yang wajib menunaikan zakat di negeri Selangor kepada amil yang dilantik secara sah oleh Majlis.

“Jumlah penduduk beragama Islam di negeri Selangor yang melebihi 3.6 juta orang dan had kifayah fakir miskin yang meningkat memerlukan jumlah dana agihan yang turut menjadi tinggi.

“Sehingga September 2024, terdapat 71,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor dan memerlukan dana sebanyak RM 1.36 bilion untuk menyantuni mereka dengan pelbagai kaedah dan cara yang wajar,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here