Home Luar Negara ISRAEL SAHKAN PEMBUNUHAN HASHEM SAFIEDDINE, CALON PEMIMPIN BAHARU HIZBULLAH

ISRAEL SAHKAN PEMBUNUHAN HASHEM SAFIEDDINE, CALON PEMIMPIN BAHARU HIZBULLAH

217
0

TEL AVIV: Israel pada Selasa mengesahkan sudah membunuh Hashem Safieddine, pewaris kepada pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah, dalam serangan udara tiga minggu lalu di pinggir selatan Beirut.

Ini adalah pengesahan pertama kematian Safieddine selepas awal bulan ini Israel menyatakan kemungkinan Safieddine sudah terbunuh dalam serangan udara itu.

Tiada maklum balas segera daripada Hizbullah berhubung kenyataan Israel itu.

Israel melaksanakan serangan yang semakin agresif di Lubnan selepas setahun pertempuran sempadan dengan Hizbullah, kumpulan disokong Iran di Timur Tengah.

Hizbullah bertindak menyokong pejuang Palestin yang melawan Israel di Gaza tetapi sedang mengalami kejutan akibat siri pembunuhan komander kanannya dalam serangan udara Israel, sejak beberapa minggu lalu.

Safieddine, saudara kepada Nasrallah, dilantik ke Majlis Jihad, iaitu badan yang bertanggungjawab ke atas operasi ketenteraan Hizbullah, dan juga kepada majlis eksekutif yang menguruskan hal kewangan dan pentadbiran kumpulan itu.

Safieddine memainkan peranan utama mewakili Hizbullah sepanjang tahun terakhir permusuhan dengan Israel, menghadiri pengebumian dan acara lain yang Nasrallah tidak dapat hadir atas sebab keselamatan.

Israel setakat ini tidak menunjukkan tanda-tanda menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza dan Lubnan, meskipun sudah membunuh beberapa pemimpin Hamas dan Hizbullah, termasuk Nasrallah dalam serangan udara pada 27 September.

Israel berhasrat mengukuhkan kedudukannya sebelum pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) mengambil alih selepas pilihan raya pada 5 November antara Naib Presiden Kamala Harris dan bekas Presiden Donald Trump, menurut diplomat.

Pengesahan Israel mengenai kematian Safieddine juga hadir ketika Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menekan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Selasa untuk memanfaatkan pembunuhan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, dengan memastikan pembebasan tebusan serangan 7 Oktober dan menamatkan perang di Gaza.

Selepas beberapa percubaan yang gagal untuk menjadi perantara gencatan senjata antara Israel dan Hamas, Blinken kini dalam lawatan ke-11nya ke Timur Tengah sejak perang Gaza meletus – terakhir sebelum pilihan raya presiden AS yang boleh mengubah dasar negara itu.

Blinken juga mencari jalan untuk meredakan konflik di Lubnan, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 18 terbunuh, termasuk empat kanak-kanak, dan 60 cedera akibat serangan udara Israel berhampiran hospital utama Beirut pada malam sebelumnya. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here