Home Sukan ROSMAN DILANTIK KETUA JURULATIH BEREGU WANITA NEGARA

ROSMAN DILANTIK KETUA JURULATIH BEREGU WANITA NEGARA

155
0

KUALA LUMPUR: Teka teki siapakah bakal menggalas tugas selaku ketua jurulatih beregu wanita negara akhirnya terjawab selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan kepulangan semula Rosman Razak untuk menggalas tugas penting itu.

Badan induk itu menerusi kenyataan hari ini berkata, Rosman, seorang pakar beregu berpengalaman luas, akan memulakan tugasnya semula pada 5 November ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dekat Bukit Kiara.

Dengan hampir dua dekad pengalaman melatih pasukan beregu kebangsaan, kepakaran dan kepimpinan Rosman amat diperlukan dalam peranannya menggalas tugas berkenaan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengalu-alukan kehadiran Rosman dan percaya jurulatih berkenaan mampu meningkatkan prestasi skuad beregu wanita negara.

“Kami mengalu-alukan kepulangan Rosman ke dalam pasukan kejurulatihan. Pengalaman bertahun-tahun beliau bersama pasukan kebangsaan sangat berharga dan kami percaya kepimpinannya akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi skuad beregu wanita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Rosman akan bekerjasama dengan Rexy serta jurulatih pasukan senior, Ching Kai Feng dan jurulatih pasukan remaja, Amelia Anscelly, dalam usaha memperkukuh dan meningkatkan perkembangan pasukan beregu wanita negara.

Sementara itu Rosman mengakui gembira dapat kembali semula ke dalam barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan.

“Saya berasa bangga dapat kembali ke BAM dan teruja untuk menghadapi cabaran ini. Skuad beregu wanita mempunyai potensi yang besar dan saya berharap dapat meningkatkan lagi kemajuan yang sudah dicapai selama ini,” katanya.

Desas desus kepulangan semula Rosman ke BAM semakin meningkat selepas beliau menonton aksi final beregu wanita pada Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Stadium Juara Bukit Kiara, Ahad lalu.

Rosman dilihat duduk bersebelahan dengan Rexy menyaksikan aksi final antara Teoh Mei Xing-Go Pei Kee menentang pilihan pertama dari Taiwan, Nicole Gonzales Chan-Yang Chu Yun.

Rosman sebelum ini membimbing beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. Bagaimanapun, dia pernah berkhidmat selaku jurulatih beregu wanita kebangsaan sehingga hujung 2020. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here