Home Buletin Semasa “YA ALLAH, SAYA BERSYUKUR SANGAT-SANGAT” – BAPA NASUHA BERSYUKUR

“YA ALLAH, SAYA BERSYUKUR SANGAT-SANGAT” – BAPA NASUHA BERSYUKUR

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: “Ya Allah, saya bersyukur sangat-sangat,” itu kata-kata yang diungkapkan oleh bapa Nur Nasuha setelah anak keduanya diberi peluang untuk menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan Maktab Rendah Sains MARA (UKKM) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, hari ini.

Mohd Nusi Mamat, 38, ketika dihubungi berkata, anak keduanya itu sempat melakukan solat tahajud selepas mengetahui berita gembira itu seterusnya membuat persediaan mengulangkaji pelajaran, semalam.

“Dia bertolak bersama guru dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai dengan ditemani ibunya, Nurul Izzati Nor pada jam 8.05 pagi ini.

“Anak (Nasuha) sangat gembira untuk menduduki ujian itu dan tidak sabar memulakan pembelajaran di MRSM nanti,” katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Mohd Nusi turut berterima kasih atas maklum balas daripada Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bachok dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan.

“Saya bersyukur kerana masih ramai pihak yang sudi prihatin dan membantu keluarga kami ini.

“Inshaallah dengan bantuan kewangan yang disalurkan ini akan saya gunakan untuk keperluan makanan harian dan persekolahan anak-anak saya,” katanya.

Terdahulu IMedikel TV memaparkan kisah murid cemerlang tersebut yang dihimpit kesempitan sehingga tidak mampu untuk menduduki UKKM di MRSM, Kuala Krai, pada 8 Oktober lalu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here