Tel Aviv: Tentera Israel mendakwa, tenteranya membunuh seorang pemimpin Hizbullah di Syria, ketika mereka terus menyasarkan kedudukan dan pejuang kumpulan itu menerusi serangan udara.
Tentera Israel berkata, tentera udara Israel menyerang dan membunuh Adham Jahout yang mereka gelar sebagai pengganas dalam ‘Golan Terrorist Network’ Hizbullah, sel pengganas Hizbullah di Syria.
Mereka menggambarkan Adham sebagai perantara yang menyampaikan maklumat daripada sumber rejim Syria kepada Hizbullah.
“Serangan udara itu berlaku di kawasan Quneitra di barat daya Syria berhampiran Bukit Golan yang dijajah Israel,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa Israel jarang mengulas mengenai serangan individu di Syria, namun berulang kali berkata mereka tidak akan membenarkan musuh ketat Iran meluaskan kehadirannya.
Pengumuman serbuan udara itu dibuat beberapa jam selepas ketua tentera Israel, Herzi Halevi berikrar untuk terus menyerang Hizbullah.
Katanya, serangan akan diteruskan tanpa tangguh untuk menghalang kumpulan itu bangkit.
Hizbullah dari segi sejarah bergantung kepada Syria, yang bersekutu dengannya, untuk mengangkut senjata dan peralatan lain dari penyokong utamanya Iran.
Iran dan Hizbullah Lubnan juga antara sekutu terpenting kerajaan Syria dalam perang saudara lebih sedekad di negara itu. – AFP, HMetro –
IMedikel TV






