LILLE, Perancis: Lille melakar kejutan ke atas Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi apabila sepakan penalti Jonathan David sejurus sebelum rehat menyaksikan kelab Perancis itu meraih kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan Eropah.
Penyerang Kanada, David menyempurnakan sepakan penalti itu pada masa kecederaan babak pertama dan Lille berhak menang menerusi persembahan menakjubkan di depan 50,000 penonton di Stade Pierre-Mauroy.
Lille memukau sepanjang perlawanan tetapi terpaksa bertahan pada minit-minit akhir ketika mereka merakam satu daripada kemenangan bermakna di Eropah dalam sejarah mereka untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Juara-Juara musim ini.
“Ia benar-benar satu persembahan hebat daripada setiap pemain dan hadiah terbaik buat kelab dan penyokong kami. Kami amat berbangga,” kata jurulatih Lille, Bruno Genesio.
Sementara itu Real – dengan Kylian Mbappe hanya tampil sebagai pemain gantian sekembalinya daripada kecederaan paha – mempamerkan persembahan di bawah tahap sebenar yang menyaksikan mereka merekod kejayaan ke-15 dalam Piala Eropah musim lalu.
Ia mungkin tidak begitu diendahkan pasukan kendalian Carlo Ancelotti, yang menewaskan Stuttgart 3-1 di laman sendiri dua minggu lalu dan menyaksikan rentetan tanpa kalah 36 perlawanan sejak Januari lalu berakhir di sini.
“Saya amat jujur. Kritikan terhadap permainan kami hari ini adil dan tepat dan kami perlu menerimanya. Kami tidak beraksi dengan baik dalam perlawanan ini,” kata Ancelotti.
Format baharu Liga Juara-Juara dengan 36 pasukan sekurang-kurangnya membantu, terutamanya bagi kelab besar benua itu, dengan setiap kelab kini beraksi lapan perlawanan berbanding enam sebelum ini.
Perlawanan Real berikutnya mungkin sukar, dengan ulangan final musim lalu menentang Borussia Dortmund berikutnya dan AC Milan serta Liverpool menyusul.
Namun sukar untuk dibayangkan mereka gagal layak sekurang-kurangnya beraksi pada pusingan play-off. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






