New Delhi: Penerbit muzik terkenal, Sean ‘P Diddy’ Combs atau lebih dikenali sebagai P Diddy kini mendapat tumpuan susulan skandal yang membawa kepada penahanannya atas tuduhan yang serius, lapor Business Standard.
Pada 16 September lalu, Combs ditangkap di New York atas tuduhan pemerdagangan seks dan menjalankan aktiviti haram untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik entiti yang sah.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan, termasuk pemerdagangan seks secara paksa dan terbabit kegiatan pelacuran.
Apabila kes itu berlaku, perhatian bukan sahaja ditujukan kepada Combs, namun ia ‘mengheret’ senarai selebriti kelas A yang menjadi sebahagian daripada kumpulan kecilnya.
Pihak berkuasa persekutuan Amerika Syarikat (AS) menyiasat secara mendalam terhadap Combs pada Mac lalu, dengan serbuan ke atas hartanahnya di Los Angeles dan Miami disiarkan secara langsung.
Sejak daripada itu, walaupun beberapa tuduhan dan saman difailkan terhadapnya, ramai selebriti berprofil tinggi, terus berdiam diri, sekali gus mencetuskan kemarahan di platform media sosial.
Combs menghadapi beberapa tindakan undang-undang kebanyakannya berkait dakwaan salah laku yang teruk, termasuk serangan seksual dan penderaan.
Tuduhan utama daripada beberapa wanita, termasuk bekas pasangannya, Cassie Ventura yang menuduhnya melakukan penderaan fizikal, emosi dan seksual sejak bertahun-tahun.
Penangkapan Combs berikutan beberapa siri dakwaan dan tindakan undang-undang yang mula timbul pada akhir 2023, terutamanya daripada Cassie.
Cassie menuduhnya melakukan pelbagai kesalahan serius bermula daripada serangan seksual hinggalah menganjurkan ‘acara berunsurkan seksual’, di mana dia didakwa dipaksa melakukan perbuatan seksual.
Tuntutan undang-undang Cassie difailkan pada November 2023 diselesaikan di luar mahkamah dengan jumlahnya tidak didedahkan, tetapi pendedahan itu berkembang menjadi penyiasatan jenayah yang lebih luas.
Tuduhan terhadap Combs disokong oleh dakwaan bahawa dia menggunakan pengaruh, kuasa dan kekayaannya untuk memanipulasi, menyalahgunakan dan memaksa mangsanya.
Combs berhadapan beberapa tindakan undang-undang jenayah, dengan sekurang-kurangnya empat kes penting baru-baru ini yang menjadi tajuk berita.
Untuk rekod, Combs kini ditahan dalam penjara sementara perbicaraan selepas tawaran peguamnya supaya dia dibebaskan dengan jaminan AS$50 juta (kira-kira RM230 juta) ditolak mahkamah. – AGENSI, HMetro –
IMedikel TV






