Home Hiburan ‘SANGGUP PANAS, BERSESAK MENANTI ARTIS KESAYANGAN’

‘SANGGUP PANAS, BERSESAK MENANTI ARTIS KESAYANGAN’

308
0

KUALA LUMPUR: Suasana di reruai Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 pada hari terakhir Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang di Stadium Negeri Pulau Pinang, kelmarin, mendapat sambutan hangat pengunjung.

Pelbagai aktiviti dan persembahan bersama artis yang juga calon ABPBH 36 menggamatkan lagi suasana pada hari terakhir di KJH biarpun cuaca panas terik di lokasi acara.

Antara artis yang memeriahkan reruai ABPBH 36 sejak jam 11 pagi hingga 7 malam pada hari ketiga adalah hos utama Malam Kemuncak ABPBH 36, Didie Alias.

Turut hadir calon ABPBH 36 iaitu Ernie Zakri, Bella Astillah, Putera Muhammad, The Gadys, Tika Nasir, Shah Radhy, Fieya Julia, Sweet Qismina, Trisha Ooi, Yassin Yahaya, Hasif Upin dan Ara Johari.

Antara yang mencuri tumpuan adalah persembahan Ernie yang mendendangkan lagu kegemaran ramai, Masing-Masing, sekali gus menarik ramai pengunjung untuk membanjiri perkarangan reruai ABPBH 36.

Ernie berkata, dia tidak kisah turun padang untuk menyertai siri jelajah ABPBH 36, sebelum muncul di konsert kemuncak KJH Pulau Pinang.

Meskipun terpaksa berpanas dan bersesak, namun itu bukan halangan buat penyanyi bervokal mantap itu demi bertemu peminat setianya.

Bella yang tampil dengan lagu Terlalu Cinta nyanyian asal Datuk Seri Rossa tetap meluangkan masa bertemu peminat di reruai ABPBH 36.

Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabella Awang Astillah yang juga calon kategori Aktres TV Popular dan Artis Sensasi Popular berkata, kehadirannya atas tanda penghargaan kepada penganjur dan peminat yang menyokongnya.

Turut mencuri tumpuan adalah kemunculan Ara yang menyampaikan dua lagu, Bunga dan Menjaga Jodoh Orang Lain apabila dilihat berjaya ‘memancing’ pengunjung untuk singgah ke reruai ABPBH 36.

Kumpulan meningkat naik, The Gadys turut memukau penonton menerusi persembahan nyanyian yang disulami dengan tarian bertenaga.

Tirai persembahan di reruai ABPBH 36 ditutup oleh Yassin selaku calon ‘otai’ pada edisi kali ini dengan menyanyikan lagu Better Man nyanyian asal Robbie Williams, lantas menarik ramai pengunjung untuk turut serta dalam segmen itu.

Secara keseluruhan, reruai ABPBH 36 menjadi antara persinggahan menarik buat pengunjung KJH Pulau Pinang. Bukan sahaja aktiviti dan persembahan bersama artis disediakan, malah terdapat juga jualan barangan eksklusif yang menjadi tarikan ramai.

Selain itu, rata-rata pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama trofi ABPBH 36 sejak era 1990-an hingga kini yang dipamerkan di reruai.

Hadiah utama tajaan CONBOO yang dipamerkan bersebelahan reruai Anugerah ABPBH 36 antara yang mencuri perhatian calon apabila masing-masing sempat berseloroh dengan mengatakan mahu memiliki dan memandu kereta SUV serba mewah itu.

Pameran kereta berkenaan turut menarik ramai pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat hadiah yang bakal menjadi milik pemenang Bintang Paling Popular yang akan diumumkan pada Malam Kemuncak ABPBH 36 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Oktober ini.

Tidak ketinggalan reruai pengeluar produk minuman susu kambing, CONBOO yang juga penaja utama ABPBH 36 turut menyumbang kepada jumlah kehadiran yang ramai.

Malah, ramai pelanggan dan pengunjung yang hadir untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk keluarannya, Beau3 Milk. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here