Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor mengesahkan pendakwaan ke atas seorang daripada suspek yang disyaki melepaskan buangan bahan kimia ke dalam perairan daratan berhampiran kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang, Selangor.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam suatu kenyataan, berkata pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 25(3), Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 (AKAS) dibaca bersama Seksyen 25(1), Akta yang sama.
“Susulan insiden pencemaran bau dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor SSP 1, 2 dan 3 pada 23 Julai 2024 yang lalu.
“Suspek adalah seorang warga negara China berumur 42 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan,”katanya dalam kenyataan.
Suspek berhadapan dengan hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan boleh juga dikenakan denda minimum RM50,000 dan maksimum sehingga RM10 juta jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Negeri Selangor Puan Raja Zaizul Faridah Binti Raja Zaharudin bersama-sama Timbalan Pendakwaraya Jabatan Alam Sekitar Nurliyana R.Azmi.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin tidak membenarkan permohanan jamin terhadap Orang Kena Syak (OKS) dan menetapkan 10 September 2024 sebagai tarikh serahan dokumen. Manakala OKS diwakili peguam daripada Tetuan Karpal Singh & Co.
Beliau berkata semua pihak industri adalah diingatkan bahawa tindakan tegas di bawah AKAS 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang melakukan pencemaran alam sekitar.
“AKAS 1974 yang telah dipinda dan mula berkuatkuasa pada 7 Julai 2024 telah memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti di mana melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.
“Selain itu, kadar kompaun juga ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan,”katanya.
JAS komited dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – JAS –
IMedikel TV






