Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menangkap seramai 50 orang dalam Operasi Khas pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh dalam suatu kenyataan, berkata pihaknya menyerbu sebuah kilang barangan kitar semula peralatan elektronik di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
“Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seorang perempuan warganegara Malaysia disyaki sebagai penjaga premis, 23 lelaki warganegara Bangladesh, 17 lelaki warganegara Myanmar, seorang lelaki warganegara Nepal, seorang lelaki warganegara China, lima wanita warganegara Myanmar, seorang wanita warganegara Vietnam dan seorang wanita warganegara China berusia dalam lingkungan 20 hingga 46 tahun.
“Operasi bermula pada jam 2.51 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama sepasukan pegawai dari Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor,”katanya dalam kenyataan.
Katanya, hasil semakan awal mendapati, enam lelaki warganegara Bangladesh telah menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki dan bekerja di lokasi serbuan, dua lelaki warganegara Bangladesh telah tinggal lebih masa manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi telah merampas lesen majlis, dokumen syarikat, Sijil Suruhanjaya Malaysia (SSM), rekod perniagaan, 10 naskhah Pasport Bangladesh, tiga naskhah pasport Myanmar, dua unit telefon bimbit, satu set komputer, 22 keping kad perakam waktu dan wang tunai sebanyak RM2,900.00.
“Modus operandi di kilang ini adalah memproses barangan lusuh peralatan elektronik, kabel dan wayar bagi mendapatkan tembaga dan aluminium daripada pelbagai negara yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang. Barangan lusuh yang telah diproses akan dijual semula secara pukal bagi pasaran tempatan dan luar negara. Kilang ini juga disyaki menggajikan warganegara asing dan menyediakan tempat tinggal di dalam kilang tersebut serta telah beroperasi selama enam bulan.
“Semasa serbuan dilakukan, terdapat pekerja warganegara asing cuba melarikan diri serta bersembunyi di dalam kawasan kilang yang sangat luas dan menyukarkan anggota serbuan untuk melakukan pemeriksaan namun berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan,”katanya.
Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 ditahan di Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka untuk siastan lanjut
Manakala seorang perempuan warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63. Kilang ini juga dipercayai telah melakukan kesalahan dibawah Sek.18, Sek.19 dan Sek.34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Seorang lelaki warganegara Malaysia dan dua lelaki warganegara China diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – JIM –
IMedikelTV.






