Penyokong yang membeli tiket perlawanan bukan sahaja memberi sokongan kepada skuad kebangsaan malah turut berbakti dalam memastikan harimau Malaya terus ‘bernyawa.’
Ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berganding bahu dalam usaha memerangi kepupusan harimau Malaya dan turut menyokong usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Usaha ini menyaksikan FAM bersetuju memberikan sumbangan RM1 daripada setiap tiket perlawanan skuad kebangsaan yang terjual kepada KBS bagi menyokong tujuan ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin optimis kerjasama ini menjadi saksi kepada satu bukti konklusif di mana kedua-dua organisasi ini juga menitikberatkan hidupan liar khususnya harimau Malaya sebagai haiwan ikonik Malaysia yang kini sedang berdepan isu kepupusan.
“Ini adalah satu misi jelas FAM dan KBS dalam pemuliharaan harimau Malaya. Setiap kali kita keluar bermain dan menonton bola sepak, kita menyumbang kepada kehidupan setiap harimau Malaya di Malaysia,” kata Hamidin.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Harimau Malaya sangat sinonim sebagai lambang dan nama panggilan keramat buat pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia.
Justeru, pihaknya tidak mahu sekiranya harimau sekadar tinggal sebagai maskot ataupun slogan tanpa kewujudan harimau liar di hutan negara ini.
“Jika spesies ini pupus, jiwa kelestarian negara ini juga akan pudar dan tidak akan ada makna jika pada masa itu pasukan kebangsaan kita masih bergelar Harimau Malaya.
“Oleh itu saya menyeru semua anak muda yang minat kepada bola sepak juga menunjukkan semangat yang sama dalam pemeliharaan harimau Malaya.
“Usaha ini selari dengan pendekatan Malaysia Madani yang menekankan aspek kemampanan. Malah melalui program Rakan Muda, KBS akan membantu dalam usaha murni ini,” katanya.
Sumber: BH Online
– Imedikel TV






